Banjir: Penduduk tidak sangka dua kali banjir dalam tempoh empat bulan
Astro Awani
Februari 27, 2022 21:48 MYT
Februari 27, 2022 21:48 MYT
KUALA TERENGGANU: Disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan tengah hari. Begitu nasib penduduk di Kuala Berang, Terengganu yang tidak menyangka mereka terpaksa mengharungi dua kali banjir dalam empat bulan.
Menceritakan pengalamannya, Wan Razi Wan Zainal memberitahu, biasanya kawasan mereka dinaiki air pada penghujung tahun di sekitar bulan November hingga Disember, namun sebaliknya yang berlaku kali ini.
"Semuanya berlaku sangat pantas, tidak sampai satu jam, air naik secara mendadak dan saya lihat air sungai mula melimpah keluar.
"Kami sekeluarga bergegas menyelamatkan diri ke rumah kakak ipar saya yang terletak di kawasan tanah tinggi," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Ahad.
Menurut Wan Razi, dia bersama kira-kira 10 keluarga lagi yang terperangkap di kawasan tanah tinggi masih tidak mendapat akses untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Walaupun tidak mendapat bantuan secara menyeluruh namun katanya, ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang datang menyalurkan bantuan makanan kepada mangsa-mangsa banjir yang terperangkap di kawasan itu.
"Cuma kami minta, kalau boleh sumbangkan juga barang keperluan lain seperti lampin pakai buang bayi," ujarnya.
Seorang lagi mangsa, Nur Hidayah Ab Rahman yang kini berada di PPS Kampung Bukit Gemuroh berkata, setakat ini kira-kira 250 mangsa ditempatkan di PPS itu dan melihat pada situasi semasa jumlah itu dijangka meningkat.
Malah jururawat itu memberitahu, tingkat bawah sekolah yang dijadikan sebagai PPS juga tenggelam dinaiki air.
"Kami semua berada di tingkat tiga dan saya menjangkakan akan ada ramai lagi mangsa yang akan ditempatkan di sini," jelasnya.
Ditanya mengenai aspek komunikasi, Nur Hidayah memberitahu, setakat ini mereka tidak ada sebarang kesulitan kerana mempunyai power bank dan sebagainya.