Banjir: Penduduk Teluk Kumbar harap kerajaan baiki sistem perparitan

Astro Awani
Mei 23, 2018 10:30 MYT
Keadaan bandaraya George Town yang ditenggelami banjir kilat berikutan hujan lebat dan ribut yang melanda pada November tahun lalu. - Gambar fail
Sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk di Teluk Kumbar, Bayan Lepas, bersiap sedia untuk dipindahkan setiap kali hujan lebat melanda negeri ini.
Berdepan dengan risiko keselamatan serta kerosakan harta benda akibat ditenggelami air banjir bagaikan tiada kesudahan buat mereka.
Bukan sahaja di Teluk Kumbar, malah banyak lagi kawasan di Pulau Pinang, sama ada di bahagian pulau mahupun tanah besar, tidak terkecuali daripada menerima kesan banjir setiap kali hujan lebat melanda negeri ini.
Bagi penduduk di Teluk Kumbar, besar harapan mereka kepada kepimpinan baharu kerajaan negeri agar masalah banjir yang membelenggu mereka sejak sekian lama dapat diatasi secepat mungkin.
Penduduk, Zarisham Zambri, mendakwa sistem perparitan yang tidak sistematik di lokasi kediaman mereka merupakan antara faktor penyumbang masalah banjir di situ.
“Kebanyakannya ditenggelami air kerana sistem perparitan tak sempurna. Jadi, kami berharap sangat (kerajaan negeri) memulihkan perparitan dengan segera.
“Selalunya, apabila hujan lebat, terjadilah banjir. Jadi kami berharap sangatlah. Kerana, (banjir) menyusahkan penduduk,” katanya.
Keadaan itu diakui Zambri Omar yang berharap masalah banjir yang membelenggu penduduk sejak sekian lama mendapat perhatian sewajarnya.
“Kita berharap kerajaan akan bertindak dengan mendalam atau melebarkan parit-parit supaya dapat menampung air hujan yang lebat itu, supaya air tidak melimpah keluar dari parit.
“Harapan kami supaya kerajaan negeri dapat melebarkan parit-parit dan sungai serta bersihkan rumput-rumput yang menjadi punca kepada masalah banjir di sini.”
Banjir terburuk yang melanda Pulau Pinang pada September dan November tahun lalu menyebabkan lebih dua ribu penduduk terpaksa dipindahkan.
Beberapa kampung sekitar Teluk Kumbar iaitu Kampung Paya, Kampung Suluk, Kampung Nelayan dan Kampung Masjid, antara kawasan yang teruk terjejas menyebabkan sebahagian besar penduduknya terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Dewan Perda Teluk Kumbar.
Mengulas isu itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim berkata, di samping projek tebatan banjir, sistem perparitan yang lebih sistematik akan dilaksanakan secepat mungkin.
“Saya yakin kerajaan negeri mampu mempercepatkan langkah ini setelah kerajaan persekutuan kita dapat tawan, dan kita ada peruntukan besar untuk sistem tebatan banjir.
"Jadi, sistem ini kita perlu bangunkan segera dengan modal peruntukan (kerajaan) pusat. Peruntukan ini InsyaAllah akan turun kepada kerajaan negeri.
"Dan kerajaan negeri akan percepatkan pembinaan sistem perparitan dan mencegah air yang turun tidak melalui perparitan," katanya.
Sementara itu, sebagai langkah jangka panjang untuk mengurangi risiko banjir, kerajaan negeri sudahpun meluluskan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Teluk Kumbar yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri, Zairil Khir Johari, peruntukan sebanyak RM10 juta telah diluluskan untuk projek berkenaan yang dijangka mampu mengurangkan risiko banjir sebanyak 80 peratus, khususnya di kawasan berkenaan.
Menurut Zairil, projek RTB Teluk Kumbar itu adalah antara 13 projek tebatan banjir yang diluluskan kerajaan negeri pada tahun lepas dalam usaha menangani masalah banjir di negeri itu.
Jelas beliau, projek itu membabitkan kerja-kerja penambahbaikan pam sedia ada di muara Sungai Teluk Kumbar.
Tambahnya, projek tersebut dijangka mengambil masa dua tahun untuk disiapkan dari tarikh permulaan projek .
Selain RTB Teluk Kumbar, katanya, RTB Teluk Bahang, RTB Pondok Upeh dan Sungai Burong juga sedang dalam proses mendapatkan perunding untuk proses membuat reka bentuk.
#banjir #hujan #perparitan #pulau pinang #Rancangan Tebatan Banjir #RTB #sempurna #sistematik #tebatan #teluk kumbar #Zairil Khir Johari #Zolkifly Md Lazim
;