Banjir: Penduduk Pekan Kajang, Taman West Country dinasihat berwaspada - Tuan Ibrahim

Astro Awani
Disember 27, 2021 19:48 MYT
Setakat jam 6.45 petang, paras air Sungai Langat di Kajang masih berada pada amaran tahap buruk (jingga) walaupun hujan lebat telah berhenti. - Twitter/@bernamadotcom
KUALA LUMPUR: Penduduk di Pekan Kajang dan Taman West Country di Hulu Langat, dekat sini, dinasihat supaya berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa susulan peningkatan paras Sungai Langat di kawasan berkenaan.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, memaparkan pengumuman segera dan penting Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di laman Twitternya petang ini, yang memberitahu paras air sungai itu kini berada pada aras bahaya.
"Aras air Sungai Langat di Pekan Kajang dan Taman West Country di Hulut Langat berada pada aras bahaya dengan trend menaik.
"Penduduk dinasihat sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa," kata pengumuman itu.
BACA: Banjir: Pekan Kajang dinaiki air, Sungai Langat cecah paras bahaya
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Banjir: Jumlah mangsa di lima negeri menurun
Pekan Kajang dinaiki air, Sungai Langat cecah paras bahaya petang tadi
Dalam pada itu, banjir kilat yang melanda kawasan Pekan Kajang dan Taman West Country Kajang, petang tadi kini sudah mula surut.
Difahamkan, kawasan terbabit dilanda banjir kilat selepas hujan lebat lebih sejam petang tadi disebabkan sistem saliran tersumbat serta peningkatan paras air Sungai Langat ke aras bahaya.
#banjir #Kajang #Semenyih #banjir kilat
;