BESUT: Sudah jatuh ditimpa tangga.

Itu yang dihadapi dua penduduk di Kampung Pekan Sari Tembila, Besut apabila perniagaan dan haiwan ternakan mereka hilang sekelip mata akibat bencana banjir.

Mohd Zafran Ibrahim, 49, berkata dia kerugian hampir RM20,000 apabila kedai runcitnya roboh manakala barangan jualan dihanyutkan arus deras.

"Sebelum kejadian tu, saya baru tambah bekalan barang-barang jualan di kedai dalam lingkungan RM10,000.

"Tapi disebabkan air deras, kedai saya roboh dan barangan ada yang hanyut, tak sempat nak diselamatkan," katanya.

Sementara itu, Zuraidi Mustaffa, 51, menanggung kerugian apabila empat ekor lembu peliharaannya mati akibat lemas selepas kawasan kediamannya ditenggelami air.

"Saya tengok paras air di paras paha, jadi saya pindah lembu ke tempat tinggi yang mana sebelum ini air tak pernah sampai. Tapi kali ni, kawasan itu pun tenggelam.

"Lepas tu saya pindah sekali lagi ke tempat lain pula, di depan sekolah, tapi bila air makin besar, saya tak boleh nak selamatkan lembu tu. Saya pun terpaksa redalah," katanya.

Walaupun sedih, namun Mohd Zafran dan Zuraidi reda dan tabah dengan dugaan yang melanda serta bersyukur mereka dan keluarga terselamat daripada musibah itu.

Kampung Pekan Sari Tembila, Besut adalah antara kawasan yang terjejas teruk dan terputus hubungan apabila semua laluannya ditenggelami air.