Banjir: Penduduk kecewa, dakwa siren amaran tidak berfungsi

Shuhada Abdul Kadir
Januari 2, 2022 12:05 MYT
Keadaan banjir di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah pagi ini. - Foto Astro AWANI
GEMAS: Penduduk di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah, di sini, kecewa apabila siren amaran banjir yang dipasang di taman itu didakwa gagal berfungsi, memaksa mereka berpindah sehelai sepinggang.
Dakwa mereka, situasi itu menyebabkan ratusan penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran tanpa sempat menyelamatkan barangan peribadi kerana air terlalu pantas memasuki kediaman mereka.
Lebih memeritkan, kata seorang penduduk, Samsudin Mohamad, 54 tahun, mereka dimaklumkan bekalan elektrik siren amaran tersebut sudah dipotong lebih awal atas alasan tertentu.
“Ini bukan kali pertama banjir tetapi apa yang kami kesal kali ini adalah siren amaran banjir itu tidak berbunyi dan penduduk tak perasan air masuk rumah kerana kejadian itu berlaku lewat pagi.
“Kawasan ini memang biasa banjir dan jika banjir sebelum ini ada bunyi amaran siren paras air Sungai Kelamah dah naik tinggi untuk penduduk bersedia berpindah.
“Kali terakhir pindah 2016 lalu banyak barang sempat diselamatkan sebab ada siren tetapi kali ini ‘sunyi’ dan alasan kami terima adalah bekalan elektrik siren itu telah dipotong oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas Jabatan Perhutanan negeri tak mampu bayar,” katanya.
Sistem amaran itu sebelum ini dipasang Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan.
Kekesalan sama turut disuarakan Rosli Md Zin, 53 tahun, yang mengakui terkejut apabila mendapat tahu siren amaran banjir di taman berkenaan sudah tidak berfungsi.
“Selepas 2011 banjir teruk dulu, tahun 2016 sekali lagi air naik tinggi, tetapi kami semua selamat dan sempat keluarkan barang-barang dan letak di tempat tinggi depan kawasan taman.
“Hari ini, tengoklah, berapa banyak saja barang yang dapat diselamatkan. Lebih-lebih lagi bagi kami yang tinggal di bahagian belakang ini. Tak sempat selamatkan apa-apa.
"Memang kami amat kecewa apabila siren itu tak berbunyi,” katanya.
Sementara itu, Samsudin Omar, 60 tahun, berkata kawasan berkenaan sememangnya ‘hotspot’ banjir di daerah Tampin sehinggakan air pernah memasuki kediaman penduduk di taman itu mencecah paras bumbung.
Rentetan peristiwa itu, kerajaan negeri ketika itu bertindak memasang siren amaran banjir, membantu penduduk lebih bersedia dengan bencana berkenaan dan mampu menyelamatkan barangan peribadi.
“Saya kesal kenapa Jabatan Perhutanan arahkan pihak TNB supaya memotong salur elektrik untuk siren ini?
“Bencana alam ini takdir dari Allah, kami terima dan reda, tetapi kami tidak reda pada Jabatan Perhutanan.
"Kenapa buat macam ini kepada kami? Kalau tak mampu bayar bil elektrik, boleh bincang dengan penduduk,” katanya.
Terdahulu, kesemua penduduk taman berkenaan dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sg Kelamah Gemas yang terletak kira-kira 300 meter dari kawasan taman perumahan itu.
Daerah Tampin merupakan daerah paling teruk terjejas di Negeri Sembilan dengan 1,173 mangsa dipindahkan ke tujuh PPS di seluruh daerah berkenaan.
#banjir negeri sembilan #PPS #siren amaran tidak berfungsi
;