Banjir: Penduduk Kampung Merbau Kudung rayu penyelesaian segera

Umavathi Ramayah
Oktober 30, 2022 09:30 MYT
(Dari kiri) Mariam Tapah, Syed Naser Syed Ali dan Sofiah Ariffin mahu kerajaan mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah banjir di Merbau Kudung, Sungai Dua. - Gambar Astro AWANI
TASEK GELUGOR: Pelbagai aduan sudah disalurkan kepada pihak penguasa, namun penduduk mendakwa, masih tiada sebarang tindakan berkesan diambil.
Itu antara luahan perasaan komuniti Kampung Merbau Kudung, Sungai Dua, dekat sini, yang hampir setiap tahun berdepan dengan bencana banjir, sejak 20 tahun yang lalu.
Bukan sahaja kerugian ribuan ringgit yang dialami, malah ancaman keselamatan seperti haiwan berbisa ketika waktu banjir turut meresahkan penduduk itu.
Juruteknik, Syed Naser Syed Ali, 51 tahun, berkata, setiap kali hujan lebat, air Sungai Merbau Kudong yang terletak berhampiran kampung itu akan melimpah keluar menyebabkan perumahan di kampung itu terjejas.
"Bila hujan lebat dua tiga jam, kemudian waktu itu pula jika air dari Sungai Muda dilepaskan, akan jadi overflow.
"Dan pada masa yang sama, jika pam Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) tidak berfungsi, maka air akan dilepas ke kawasan itu yang akhirnya menyebabkan limpahan di kawasan itu.
"Saya sudah ajukan perkara ini kepada Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), namun tindakannya sangat lambat," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, baru-baru ini.
Isu Banjir | Penduduk rayu penyelesaian segera
Justeru, Syed Naser mahu pihak yang bertanggungjawab supaya memperbesarkan sambungan ke Sungai Perai bagi membolehkan air mengalir tanpa sebarang halangan.
Malah, dakwanya, lumpuh yang dilepaskan oleh PBAPP juga menjadikan Sungai Merbau Kudong itu semakin cetek.
Bagi Sofiah Ariffin, 76 tahun, yang tinggal di kawasan itu sejak 45 tahun lalu, dia menjadi trauma setiap kali hujan lebat.
"Kalau tak banjir pun, kalau hujan lebat tak henti-henti dua tiga jam, makcik takut. Perabot termasuk bantal dan tilam yang dibeli anak-anak saya semua rosak dinaiki air, tak tau nak simpan mana, rumah tak bertingkat," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Che Puteh Shaleh, 54 tahun, memberitahu, dia dan suaminya yang ketika hayatnya merupakan seorang pesakit dialisis, berdepan detik sukar setiap kali air naik.
"Arwah (suami) seorang pesakit dialisis, bila banjir kami terpaksa duduk dalam air sehingga air surut sebab pergerakan suami saya agak terbatas," katanya.
Bagi bekas pekerja koperasi sekolah, Mariam Tapah, 62 tahun, penduduk di situ terpaksa membiasakan diri dan 'hidup' dengan banjir sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali setahun.
Paling teruk katanya, pada tahun 2016, kampung itu dinaiki air paras pintu dan mereka terpaksa tinggal di dewan berhampiran sehingga air surut.
"Makcik minta calon yang menang kalau ada datanglah jenguk kami kami, jangan janji sahaja, apabila banjir seorang pun tak tunjuk muka," ujarnya.
#Parlimen Tasek Gelugor #mangsa banjir #Kampung Merbau Kudung #Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang
;