Banjir: Penduduk Kampung Mandeling terputus bekalan air bersih, jambatan runtuh lebih seminggu

Umavathi Ramayah
Disember 27, 2021 16:38 MYT
Penduduk juga terpaksa bergantung kepada jambatan sementara selepas jambatan yang menghubungkan jalan utama dan kampung itu runtuh dipukul arus deras. - Gambar Astro AWANI
HULU LANGAT : Kira-kira 19 buah rumah di Kampung Mendeling, di sini terputus bekalan air bersih, lebih seminggu yang lalu akibat banjir besar yang melanda kawasan itu, Sabtu minggu lepas.
Bahkan, penduduk di situ juga terpaksa bergantung kepada jambatan sementara selepas jambatan yang menghubungkan jalan utama dan kampung itu runtuh dipukul arus deras.
Ini menyebabkan bantuan bekalan air bersih tidak dapat dibawa masuk ke kawasan kediaman mereka menggunakan kenderaan.
TInjauan Astro AWANI mendapati, walaupun banjir sudah surut, penduduk itu masih mengalami kesukaran untuk memulihkan kehidupan mereka kerana usaha pembersihan terhalang akibat kekurangan bekalan air bersih dan terpaksa bergantung kepada air bukit untuk membersihkan harta benda mereka yang berselut.
BACA SEMUA BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI
Malah, rata-rata penduduk juga menyatakan mereka bimbang untuk menggunakan peralatan elektrik meskipun bekalan itu sudah pulih kerana khuatir berlaku lintar pintas.
Justeru mereka memohon jasa baik pihak berkuasa untuk datang memeriksa tahap keselamatan bekalan elektrik di kawasan mereka.
Salah seorang mangsa, Eulis Akhmad, 32, memberitahu, semalam pasukan polis datang membekalkan dua buah tangki air, namun terpaksa diletakkan di luar memandangkan akses ke kampung tersebut terhad.
"Dalam keadaan ini, kalau ada berapa banyak bantuan pun, sukar untuk dibawa masuk ke dalam," katanya ketika ditemui di sini, pada Isnin.
Guna parang pecah atap demi selamatkan OKU dan ibu mengandung
Menceritakan keadaan semasa banjir, katanya, penduduk kampung terdengar bunyi kuat sebelum dimaklumkan jambatan yang menghubungkan kampung tersebut runtuh sepenuhnya.
Tambahnya lagi, jika mahu keluar dari kawasan itu, penduduk kampung juga terpaksa meredah paras air setinggi dada dan berjalan kira-kira satu kilometer melalui jalan hutan.
Sementara itu, seorang ibu tunggal, Noraziena Ali, 34, yang baharu sahaja kehilangan suami tiga bulan lalu, memberitahu, meskipun banjir bukan sesuatu yang baharu di kawasan itu, tetapi kali ini agak berbeza.
"Banjir ini bukan sesuatu yang baharu kerana selalu berlaku, tapi kali ini paras air di luar jangkaan. Saya terpaksa mengharungi saat-saat yang mencabar seorang diri dengan dua anak kecil. Saya tengok keluarga lain semua cukup (berpasangan suami isteri), lain pula kami.
"Bagi saya, melangkah ke rumah 'baharu' kami memerlukan bantuan seperti dapur dan sebagai. Banjir lumpur ini merosakkan sepenuhnya perabot-perabot rumah kami sekelip mata," ujarnya.
Bagi Normadiah Ahmad Putri, 47, yang merupakan antara 13 jiran termasuk ibu mengandung dan orang kurang upaya (OKU), yang terpaksa memanjat siling rumahnya untuk mencari perlindungan memberitahu, dia tidak menyangka dia akan hidup.
"Saya minta anak lelaki saya bawa parang pecahkan siling, lepas itu saya minta budak-budak dan ibu mengandung naik atas dulu sebelum orang tua di bawa ke atas.
"Malang lagi, ada ular kapak dalam rumah, walaupun bahaya, saya arah anak lelaki saya bunuh ular itu kerana kalau tak, dia (ular) akan patuk kita. Memberanikan diri, anak saya cari dan membunuh ular itu menggunakan parang.
"Kita redha sajalah, kami dengar jambatan runtuh, rumah belakang sana runtuh, budak-budak menangis. Saya tawakal dan terus memohon maaf kepada sepupu saya yang kebetulan bersama-sama saya pada ketika itu," katanya berkongsi pengalaman buruk banjir yang pasti dia tidak dapat lupakan.
#BanjirSelangor #mangsa banjir #bekalan air bersih #jambatan runtuh
;