Banjir: Penduduk kampung gesa kerajaan naik taraf kemudahan asas

Nur Fazlizai Ali
Januari 8, 2022 08:12 MYT
Fenomena air pasang besar menyebabkan kawasan tersebut dicemari sisa kumbahan dan sampah sarap sekaligus terdedah kepada ancaman penyakit. - Astro AWANI
KEMAMAN: Penduduk Kampung Kuala Kemaman, Terengganu merayu agar kemudahan asas di kawasan kediaman mereka dinaik taraf manakala pembinaan penempatan baharu disegerakan.
Menurut penduduk, mereka tidak sanggup lagi untuk berhadapan dengan situasi sama yang berlarutan sejak 50 tahun lalu.
Penduduk mendakwa, fenomena air pasang besar menyebabkan kawasan tersebut dicemari sisa kumbahan dan sampah sarap sekaligus terdedah kepada ancaman penyakit.
"Harapan nak minta kerajaan menaik taraf kawasan ini kalau boleh seperti kawasan perumahan yang lain.
"Bukannnya baru setahun setengah, sudah 50 tahun perkara ini berulang. Sejak saya tinggal di sini tiada perubahan," kata nelayan, Zakaria Rawi.
Bagi suri rumah, Hamsah Abdullah, dia sudah tidak tahan dengan selut yang meliputi rumahnya serta sampah sarap yang dibawa banjir.
"Seksalah kalau mari selut, habis masuk rumah dan barang-barang habis terkena.
"Kotor juga sampah-sampah pun ada, macam-macam mari," katanya.
Menurutnya, sistem perparitan yang tidak sempurna di kawasan terbabit memburukkan lagi keadaan.
Kampung Kuala Kemaman adalah penempatan awal penduduk di muara Sungai Kemaman yang didiami hampir 80 keluarga yang kebanyakanya bekerja sebagai nelayan.
#banjir #air pasang besar #kemudahan asas #sisa kumbahan
;