Banjir: Penduduk Jeli ikuti rapat ramalan cuaca, pindah awal ke PPS
Muhafandi Muhamad
Disember 31, 2021 11:30 MYT
Disember 31, 2021 11:30 MYT
JELI: Mangsa banjir di pedalaman Kelantan, Jeli berpindah awal bahkan mereka mengikuti perkembangan semasa berkenaan banjir sama ada di laman kerajaan atau media sosial.
Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keadaan banjir gelombang kedua di Jeli sehingga pagi tadi menyaksikan lebih 1,200 mangsa dipindahkan ke sembilan buah pusat pemindahan sementara (PPS).
"Oleh kerana apa yang berlaku di Selangor dan Pahang, ini mungkin jadi pengajaran jadi mereka di sini ikuti denga rapi ramalan cuaca.
"Apabila di TV, ramalan cuaca kata hujan turun dengan lebat, mereka sudah berjaga-jaga. Itu juga membantu untuk memastikan masyakarat di sini bersedia dengan keadaan ini dan mereka mengikuti ramalan, akur dan berpindah ke PPS," katanya.
Beliau menjelaskan, hujan lebat yang turun menyaksikan kawasan rendah dinaiki sejak malam semalam.
Bagaimana menurut Mustapa, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), air cepat surut di kawasan Jeli sekiranya hujan reda.
Kordinasi antara jabatan kerajaan membabitkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Rela dan sebagainya dalam membantu menyelaras perpindahan mangsa banjir berjalan baik.
Sementara itu Mustapa menjelaskan bancian dan penilaian jumlah kerosakan dan kerugian banjir gelombang pertama di Jeli belum dilakukan.
Pada waktu ini, kerajaan telah menyalurkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada sebahagian mangsa banjir di Kelantan.