Banjir: Penduduk gesa kerajaan buka penempatan baharu

Nur Fazlizai Ali
Disember 27, 2022 06:40 MYT
Penduduk tidak mampu lagi menanggung kerugian ribuan ringgit serta risiko keselamatan dalam berdepan bencana banjir saban tahun. - Astro AWANI
BESUT: Penduduk di Kampung La, Hulu Besut, Terengganu gesa kerajaan cari jalan penyelesaian tuntas termasuk membuka kawasan penempatan baharu yang lebih selamat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK), Kampung La, Abdul Razak Laboh, mereka tidak mampu lagi menanggung kerugian ribuan ringgit serta risiko keselamatan dalam berdepan bencana banjir saban tahun.
Menurut Abdul Razak, kerajaan perlu merungkai isu berkenaan yang selama ini menjadi igauan ngeri kepada penduduk.
"Mana-mana kerajaan sama ada kerajaan pusat atau kerajaan negeri, memikirkan masalah Kampung La ini supaya membuat penempatan semula kepada mereka-mereka yang hadapi banjir ini.
"Sebab habis tahun berganti tahun kita tak selesai masalah. Kita sudah merdeka 65 tahun lebih benda ini tidak boleh nak selesai.
"Jadi saya minta supaya benda ni selesaikan sebab inilah masanya kita nak selesai. Walaupun hari ini tak melibatkan nyawa lagi tapi mungkin di satu masa lagi melibatkan nyawa, sebab di sini, ini paling teruk. Di masa hadapan, kita tak tahu paling teruk macam mana, itu yang saya mohon sangat-sangat," katanya.
Sementara itu, Mohd Sabri Mat Ripin, 46, merayu agar isu yang membabitkan nyawa rakyat diselesaikan dengan segera.
"Kalau untuk penempatan baharu ini, eloklah kalau kerajaan nak tolong untuk buat yang baharu.
"Sebab Kampung La ini setiap tahun kita hadapi banjir. Cuma besar atau kecil sahaja. Untuk banjir tahun 2022 ini memang teruk, 97 peratus rumah kita tenggelam, hanya tiga peratus sahaja kawasan kita itu tidak tenggelam," katanya.
Banjir di Besut menyaksikan lebih 1,000 penduduk di Kampung La terjejas akibat bencana itu dan ada di antara mereka hilang tempat tinggal selepas kediaman dihanyutkan arus deras.
#banjir #Penempatan baharu #mangsa #arus deras
;