Banjir: Pemimpin tempatan, agensi penyelamat pujuk penduduk berpindah

Bernama
Mac 1, 2022 22:10 MYT
Beberapa anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan melakukan operasi memindah dan menyelamat penduduk di Taman Sri Mas, Kampung Lubok Jong. - Foto BERNAMA
TUMPAT: Masih ramai penduduk di kawasan yang dilanda banjir di sini enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) walaupun dipujuk pemimpin tempatan dan pihak berkuasa yang bimbang akan keselamatan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor Wan Roslan Wan Hamat berkata antara alasan mereka adalah banjir akan pulih berikutan cuaca kembali cerah dan boleh pergi sendiri ke PPS kerana memiliki bot.
"Walaupun sudah beberapa kali dipujuk namun masih ramai yang memberikan pelbagai alasan yang tidak munasabah semata-mata kerana tidak mahu meninggalkan rumah.
"Dengan cara ini (pujuk) sahaja kita boleh selamatkan mereka sebab kita tidak mahu jadi seperti di beberapa kawasan lain yang menyebabkan penduduknya tidak sempat untuk berpindah ke PPS kerana paras air naik dengan mendadak," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Beliau berkata hasil tinjauan yang dilakukannya hari ini di sekitar Kampung Kajang Sebidang, Teluk Jering, Simpangan, Cherang Melintang dan Kubang Sawa mendapati masih ramai penduduk yang tidak mahu berpindah meskipun kawasan mereka telah mula dinaiki air.
Wan Roslan berkata tindakan segelintir penduduk ini sebenarnya boleh mendatangkan kesukaran kepada agensi penyelamat untuk membantu mereka sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak dijangka terutama pada waktu malam.
Bagaimanapun, katanya, beliau bersama agensi penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau perkembangan terkini kawasan-kawasan terbabit.
Sementara itu, Mohd Noor Musa, 50, dari Kampung Jelujok di sini, menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa yang bertungkus lumus menyelamatkan mangsa banjir sepertinya.
"Saya menghidap penyakit saraf sejak lima bulan lalu yang memberi kesukaran kepada saya untuk bergerak, mujurlah ada pasukan penyelamat yang membawa saya sekeluarga untuk berpindah menggunakan bot mereka.
"Saya tidak dapat bayangkan bagaimana nasib saya jika waktu itu tidak ada yang dapat bantu saya sekeluarga," katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Kubor 2, pada Selasa.
-- BERNAMA
#banjir #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #pasukan penyelamat #mangsa banjir