Banjir: Pelajar UIAM ganding bahu bersihkan rumah mangsa di Hulu Langat

Umavathi Ramayah
Disember 28, 2021 15:35 MYT
Kesibukan tugas hakiki sebagai pelajar tidak menghalang sekumpulan penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memberi bantuan membersihkan rumah dan premis yang terjejas akibat banjir di Hulu Langat. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kesibukan tugas hakiki sebagai pelajar tidak menghalang sekumpulan penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memberi bantuan membersihkan rumah dan premis yang terjejas akibat banjir di Hulu Langat baru-baru ini.
Kira-kira 24 pelajar dengan bantuan dana pensyarah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menggembleng tenaga membantu mangsa banjir selepas kawasan itu dilanda banjir teruk.
Seorang pelajar Sarjana Pendidikan, Nor Atikah Aznan, 31, memberitahu, mereka
mengambil langkah segera menggerakkan Flood Relief Squad (FRS) menerusi kumpulan Telegram melibatkan pelajar-pelajar untuk misi bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas di sekitar Hulu Langat.
Katanya, misi yang bertujuan untuk meringankan beban mangsa banjir dalam proses membersihkan kawasan rumah selepas banjir surut itu turut mendapat sambutan mengalakkan daripada warga Twitter dan pesohor sosial media.
"Hari ini tidak ramai yang datang, kerana ada di antara sukarelawan (pelajar) yang terpaksa ke kelas dan sebagainya," katanya.
Sementara itu, Pengerusi FRS, Ahmad Mursyid, 20, memberitahu, misi bantuan membersihkan pada hari ini memasuki hari keempat apabila kumpulan pertama tiba beberapa hari lalu membersihkan Sekolah Rendah Agama Hulu Langat.
"Kami antara kumpulan sukarelawan pertama yang turun membersihkan rumah-rumah mangsa.
"Kami tidak dapat mengerakkan kesemua tenaga kami kerana ada sebahagian daripada kami terikat kepada jadual pembelajaran, jadi kami terpaksa bergerak secara bergilir," katanya.
Menjelaskan lagi, pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Aerospace itu memberitahu, penduduk di Hulu Langat pada ketika ini tidak memerlukan bantuan pakaian atau bekalan makanan, sebaliknya penduduk sangat mengharap bantuan sukarelawan untuk membersihkan rumah mereka bagi membolehkan mereka boleh kembali tinggal secepat mungkin.
Bagi Muhammad Haris Che Amdilah, 19, pelajar Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik pula, dia baru sahaja selesai menduduki peperiksaan semalam dan hari ini bersama-sama FTS membantu mangsa banjir yang terjejas.
BACA SEMUA BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI
Katanya, sebagai anak kelahiran Pantai Timur, di mana sesetengah penduduk di sana ada yang menganggap banjir sebagai satu endemik berkata, dia memahami keperitan dan keperluan mangsa.
"Awalnya, saya membuat ciapan di Twitter meminta dana bagi mengerakkan misi ini dan kurang dari dua jam, kami mendapat sambutan yang mengalakkan daripada warga netizen. Ada yang mahu sertai kami dan ada juga yang sanggup meminjamkan kenderaan mereka untuk misi ini," ujarnya.
Kumpulan itu memulakan misi bantuan seawal pukul 8 pagi dan tertakluk kepada jadual pembelajaran masing-masing.
Pada Jumaat ini, mereka akan bergerak ke Bentong, Pahang pula untuk membantu membersihkan rumah mangsa banjir di sana.
#NGO #Banjir 2021 #pelajar UIAM #Hulu Langat
;