Banjir: Pekebun kecil Felcra, Risda boleh mohon bantuan jika tanaman rosak

Bernama
Januari 7, 2017 14:31 MYT
ISMAIL: Pekebun kecil yang berdaftar dengan Felcra dan Risda boleh memohon bantuan daripada KKLW jika tanaman mereka rosak akibat banjir. - Gambar fail
Pekebun kecil yang berdaftar dengan Felcra dan Risda boleh memohon bantuan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) jika tanaman mereka rosak akibat banjir, kata Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata pekebun yang terjejas hanya perlu mengemukakan laporan sebelum agensi berkaitan membuat penilaian terhadap kerosakan di kebun mereka akibat bencana alam itu.
"Kementerian mempunyai bantuan khusus kepada pekebun bagi memulihkan kembali kebun mereka yang terjejas dengan bencana," katanya kepada pemberita selepas meninjau 1,110 mangsa banjir daripada 421 keluarga di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Tanjong di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Datuk Abdul Aziz Derashid.
Ismail Sabri berkata pihak kementeriannya juga sedang menunggu laporan penuh berhubung infrastruktur awam seperti jalan kampung, masjid dan tadika yang rosak akibat banjir, untuk dibaiki.
"Kita akan memberi tumpuan khusus kepada tadika Kemas yang rosak bagi membolehkan kanak-kanak dapat kembali meneruskan sesi pembelajaran mereka," katanya.
-- BERNAMA
#Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob #FELCRA #kesedar #risda