Banjir: Pejabat polis bertukar menjadi PPS tempatkan mangsa
Nur Fazlizai Ali
Januari 10, 2021 10:47 MYT
Januari 10, 2021 10:47 MYT
KEMAMAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman mengambil inisiatif dengan membuka pusat pemindahan sementara (PPS) sendiri bagi menempatkan kakitangan dan ahli keluarga warga polis yang terjejas akibat banjir.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata PPS itu dibuka sejak Ahad lalu susulan banjir gelombang kelima yang kembali melanda Terengganu.
Katanya sebanyak 23 keluarga ditempatkan di PPS itu, termasuk sebilangan kakitangan awam.
“Tujuan kita membuka PPS di IPD yang saya rasa yang pertama di Malaysia, adalah supaya untuk menepatkan anggota pegawai kakitangan awam.
“Selain itu mereka juga boleh ditugaskan untuk usaha menyelamat dan menjaga keselamatan,” jelasnya.
Beliau berkata langkah yang dilakukan itu juga bagi memastikan pegawai dan anggota tidak bimbang dengan keselamatan ahli keluarga mereka ketika keluar bertugas.
Menurut Hanyan setakat ini kuaters polis tidak dilimpahi air dan mereka yang terjejas ini menetap di kediaman sendiri ataupun menyewa di taman perumahan.
Sementara itu Hanyan sekali lagi mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil risiko meredah air banjir termasuk menggunakan kenderaan.
Katanya ia bagi menggelakkan insiden kereta hanyut dan terperangkap terus berlaku dikawasan bencana.