Banjir: PBT diminta bantu NADMA kumpul maklumat kerugian premis, kediaman

Bernama
Disember 8, 2024 04:15 MYT
Aiman Athirah (kanan) mendengar penerangan berkaitan pergerakan angin yang membawa hujan ketika melawat Operasi Banjir Monsun Timur Laut di Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat JBPM Kelantan, Tunjung, 7 Dis 2024. --fotoBERNAMA
KOTA BHARU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengumpul maklumat kerugian dialami premis bangunan atau kediaman akibat banjir.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata setakat ini kementerian itu belum memperoleh statistik kerugian dan masih mengumpul maklumat berkaitan.
"PBT telah diarahkan melihat ruang (bentuk) yang boleh kita bantu melalui KPKT dan kita turut berikan perhatian terhadap mangsa banjir.
"Pasukan kita telah bersiap sedia lebih awal, kesan masuk air ke premis atau kediaman adalah perkara biasa cuma apa-apa kerosakan itu perlu ada rekod yang sahih untuk dinilai," katanya.
Beliau kepada pemberita selepas Program Lawatan Turun Padang Operasi Monsun Timur Laut Kelantan di sini semalam.
Sementara itu, Aiman Athirah turut mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah supaya berwaspada termasuk di Kuala Krai yang dijangka mengalami banjir bermula semalam hingga Jumaat.
"Orang ramai perlu peka keadaan cuaca semasa dan berpindah lebih awal jika perlu," katanya.
-- BERNAMA
#pbt #Aiman Athirah Sabu #banjir #kerugian
;