Banjir: 'Papa.. papa.. mana mainan abang?'

Hasimi Muhamad
Disember 27, 2021 16:06 MYT
Izzi dan isterinya, Nurshuhada, perlu menenangkan anak mereka yang terkejut dengan kejadian bencana alam itu. - Astro AWANI
SUBANG JAYA: “Papa… papa…, mana mainan abang?”
Demikian antara pertanyaan anak kepada pembantu gudang, Izzi Hayat Ismail, 30, selepas harta benda dan kediaman mereka rosak teruk akibat banjir yang melanda Kampung Bukit Lanchong, di sini baru-baru ini.
Sebagai ketua keluarga, Izzi berkata dia dan isterinya, Nurshuhada Abdul Razak, 30, perlu menenangkan anak sulungnya yang terkejut dengan bencana alam itu.
Jelas Izzi, anaknya, Muhamad Aisy Darwish, 5, hanya berdiam diri selepas sehari kejadian banjir teruk menenggelamkan hampir keseluruhan rumah mereka pada Sabtu lalu.
“Keadaan anak ketika ini okay... cuma hari pertama sahaja dia terkejut, dia senyap dan kurang bercakap.
“Selepas itu dia tanya 'rumah kita macam mana, rumah kita okay ke?'
"(Ketika kejadian), kami terperangkap di belakang rumah, sebab air dari belakang dan depan (melimpah) dan ada ban pecah,” kongsinya kepada Astro AWANI, pada Isnin.
Bercerita lanjut, Izzi yang tinggal di situ sejak lima tahun lalu berkata, sebagai ibu bapa, dia dan isteri memainkan peranan penting untuk memulihkan semula semangat anaknya itu.
Seorang lagi anak pasangan itu, Muhamad Aariz Darwish baru berusia tiga bulan.
Justeru tambahnya, selain bantuan barangan asas, Izzi berpandangan sokongan psikologi kepada kanak-kanak juga wajar diberi perhatian oleh pihak berkaitan.
“Kita beritahu (anak) sebab kita bagi (duduk) jauh dari bencana, dan berikan mereka tempat yang selamat.
“Kita kurang bagi (tengok) media sosial sebab ia melibatkan mental anak.
“Dia (anak) ada tanya ‘papa-papa, mana mainan abang?’
“Jadi (bantuan psikologi) kepada anak penting... sebab saya pun ada bayi berusia tiga bulan, dan (isteri) baru lepas pantang,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, Izzi turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak terlibat yang menghulurkan bantuan kepada mereka dan mangsa-mangsa banjir lain.
Bagaimanapun, dari sudut tuntutan pampasan terhadap kehilangan harta benda, Izzi berharap prosedur tersebut boleh dipermudah.
“Cuma bagi saya, sekarang yang masalah ialah mungkin (keperluan membuat) laporan polis. Sebab kita hanya ada dua atau tiga balai polis (berdekatan Kampung Bukit Lanchong) dan tiada balai polis bergerak setakat ini,” katanya.
#banjir #mangsa banjir #Kampung Bukit Lanchong #bencana alam
;