Banjir Pantai Timur, pindaan Akta 342 tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Bernama
Mac 1, 2022 08:25 MYT
Penduduk menaiki bot untuk melihat keadaan paras air di rumahnya yang ditenggelami banjir ekoran hujan lebat berterusan semasa tinjauan di Kampung Ayer Puteh, Kemaman, 28 Feb 2022. --Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Isu berhubung pengurusan bencana banjir yang baru melanda negara di Pantai Timur dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan itu diajukan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) kepada Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan Menteri.
Wan Hassan turut meminta Perdana Menteri menyatakan langkah-langkah drastik yang diambil oleh kerajaan dalam menangani musibah banjir yang melanda negeri-negeri Pantai Timur pada waktu ini.
Pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) bertanya kepada Menteri Kanan Kerja Raya mengenai pelaksanaan kemudahan pembayaran tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di semua tol tertutup di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2).
Beliau juga mengajukan pertanyaan sama ada RFID mampu mengatasi masalah kesesakan di plaza tol selain menyentuh mengenai penggunaan Touch 'n Go dan SmartTAG di Lebuh Raya PLUS dan LPT 2.
Pada sesi sama, Perdana Menteri turut diminta menyatakan mengapa masih berlaku kelemahan di dalam sistem pelaksanaan dan penyampaian kerajaan.
Soalan itu diajukan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang turut ingin tahu langkah-langkah yang boleh diambil oleh kerajaan untuk mengatasinya.
Turut dijangka menjadi tumpuan adalah sesi bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 selepas dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Disember tahun lepas.
Pindaan yang dibentang oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali itu antara lain bagi menaikkan kadar maksimum kompaun terhadap individu yang melakukan kesalahan di bawah RUU berkenaan dan mengikut RUU itu, individu yang melakukan kesalahan boleh dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 ketika ini
Pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu juga mencadangkan pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ditetapkan boleh dikompaun sehingga maksimum RM1 juta.
Selain itu, RUU Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2021 juga dijangka akan dibentang bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.
Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini.
-- BERNAMA
#Akta 342 #Banjir pantai timur #Dewan Rakyat
;