Banjir Pahang: Seorang mangsa hanyut ditemukan

Fauzi Suhaimi
Januari 5, 2021 15:46 MYT
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi Isnin, sebuah bot yang dinaiki sekeluarga terbalik selepas dipukul arus deras ketika dalam perjalanan pulang dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mendapatkan bantuan makanan. - Foto PDRM Kuala Lipis
LIPIS: Seorang mangsa yang dipercayai hanyut dibawa arus selepas bot yang dinaikinya terbalik dipukul arus di Kampung Bertang, Sungai Koyan, Kuala Lipis ditemukan pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, mangsa, Rozi Omar, 52, ditemukan pada pukul 9.45 pagi tadi, kira-kira 1 meter dari tempat kejadian.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan semula hari ini bermula pukul 8.15 pagi tadi selepas ditangguhkan semalam susulan cuaca gelap dan hujan.
"Hasil operasi itu, pihaknya berjaya menemukan mangsa pertama tidak jauh daripada lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Selasa.
Banjir: Sembilan sungai di Pahang lepasi paras bahaya
Azli berkata, seorang lagi mangsa masih tidak ditemukan dan operasi SAR giat dilakukan.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat," katanya.
Banjir Pahang: Bomba kerah aset air, darat, udara pantau banjir
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi Isnin, sebuah bot yang dinaiki sekeluarga terbalik selepas dipukul arus deras ketika dalam perjalanan pulang dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mendapatkan bantuan makanan.
Mangsa, Rozi, yang juga ibunya bersama anaknya, Zakirah Ahmad Husin, 19 dipercayai hanyut manakala dua beranak lagi iaitu ayahnya, Ahmad Husin Mad Aris, 52, dan anaknya, Nur Aina, 23, terselamat selepas berjaya berpaut pada sebatang kayu.
#mangsa banjir #rozi omar #banjir pahang #nur zakirah ahmad hussin #ahmad hussin mad aris #Hospital Kuala Lipis #azri akmar
;