Banjir Pahang: PPS SK Sungai Ular ditutup, 23 mangsa terakhir dibenar pulang

Amir Hamzah Nordin
Disember 23, 2022 17:42 MYT
Mangsa berkenaan yang menginap di PPS itu minggu lalu adalah kumpulan terakhir dibenarkan pulang mulai petang ini. - Foto APM
KUANTAN: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular di sini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada jam 4 petang hari ini.
Susulan penutupan PPS itu, banjir di Pahang kini pulih buat masa ini apabila sejumlah 23 orang mangsa daripada enam keluarga yang ditempatkan PPS itu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, mangsa berkenaan yang menginap di PPS itu minggu lalu adalah kumpulan terakhir dibenarkan pulang mulai petang ini.
"Penutupan PPS SK Sungai Ular merupakan lokasi terakhir selepas PPS di Raub, Pekan dan Temerloh ditutup sepenuhnya beberapa hari yang lalu.
"Anggota APM Kuantan dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan melaksanakan kerja mengemaskan khemah mangsa serta aspek kebersihan kawasan dan pemantauan keselamatan mangsa pulang ke rumah masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
IKUTI LAPORAN KOMPREHENSIF MENGENAI BANJIR DI SINI!
Katanya, 14 sungai utama di negeri ini telah menunjukkan trend penurunan, tetapi masih pada amaran waspada sehingga pukul 12 tengah hari tadi.
"Bagaimanapun, hujan masih berlaku di semua kawasan 11 buah daerah negeri dan juga ada sesetengah tempat berlaku ribut petir.
“Penduduk di pesisir Sungai Pahang dan sungai utama lain di negeri ini perlu berwaspada serta kerap mendapatkan maklumat tepat mengenai keadaan banjir daripada anggota APM yang bertugas dan pihak berkuasa beruniform lain mengenai perkembangan banjir setiap hari.
#banjir #banjir pahang #PPS SK Sungai Ular #mangsa dibenar pulang
;