Banjir Pahang: Mayat pelajar UMP ditemukan
Aira Abdul
Januari 6, 2021 12:44 MYT
Januari 6, 2021 12:44 MYT
JERANTUT: Mayat pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ukai Iskandar Zulkarnain, 23, yang hilang dibawa arus di Kampung Gintong di sini kelmarin ditemukan pada pukul 9 pagi ini.
Komander Operasi Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Rosdi Mustafa berkata, mayat mangsa ditemukan lima meter dari lokasi kejadian oleh pasukan bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat.
"Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan sempurna tersangkut pada pokok kira-kira lima meter dari lokasi kejadian.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke hospital," katanya di sini, hari ini.
Kelmarin seorang kakitangan Pejabat Hutan Jerantut, Zulkarnain Hitam, 58, menjadi korban pertama banjir selepas lemas apabila dihanyutkan air ketika meredah banjir di Kampung Gintong di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu mangsa bersama tiga orang anaknya berjalan meredah banjir ke sebuah rumah di Kampung Sokti di sini.
Bagaimanapun apabila tiba di tempat kejadian mangsa dan anaknya dihanyutkan arus deras.
Mangsa kemudian ditemukan oleh dua anaknya manakala seorang lagi anaknya hilang dibawa arus.
Menurut Rosdi, operasi pencarian mangsa sejak kelmarin ditamatkan pada pukul 10.45 pagi ini.
#Pahang
#polis
#banjir
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#JBPM
#Malaysia
#bomba
#mangsa
#pelajar Universiti Malaysia Pahang
#mayat
#lemas
#pelajar UMP
#Ukai Iskandar Zulkarnain