Banjir Pahang: JBPM Perak, Selangor, KL dikerah bantu operasi

Fauzi Suhaimi
Januari 4, 2021 18:21 MYT
NOR HISHAM: Kesemua logistik ini bagi melicinkan operasi di bawah kawal sedia JBPM untuk di Pahang. - Astro AWANI
KUANTAN: Bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) membabitkan anggota dan aset telah dikerah bagi membantu operasi banjir di Pahang.
Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamar Malayisa (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, penghantaran aset itu bermula semalam susulan keadaan banjir yang semakin buruk.
Menurutnya, antara aset yang dikerahkan adalah seperti tiga buah lori dan sebuah bot dua alam biasa yang didatangkan khas daripada WPKL serta operator aset berkenaan.
"Semalam kami dapati kadar intensiti hujan pada kadar yang tinggi bagi daerah Raub dan air naik sangat membimbangkan. Jadi jangkaan kami tepat semalam dengan mengerahkan aset ke sana, namun berdepan cabaran arus deras.
"Sehubungan itu, kita sudah mula gerakkan pasukan bantuan dari Perak, Selangor dan WPKL untuk membantu di kawasan Raub dengan menghantar bantuan dari segi logistik.
"Kesemua logistik ini bagi melicinkan operasi di bawah kawal sedia JBPM untuk di negeri ini," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Nor Hisham berkata, negeri lain bagaimanapun masih berada pada kadar biasa khususnya di Kelantan dan Terengganu.
"Di Johor pula, buat masa ini bantuan yang dihantar pada peringkat awal iaitu tiga hari yang lalu dengan mengerahkan aset unit udara JBPM bagi membawa bantuan makanan di lokasi yang terasing serta bantuan kesihatan kepada ibu mengandung.
"Namun, kita juga bersedia dengan apa juga kemungkinan yang akan berlaku dengan melihat keperluan di sesuatu kawasan," ujarnya.
#Datuk Nor Hisham Mohammad #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #operasi banjir #mangsa banjir #usaha menyelamat #bencana alam
;