Banjir Pahang: Ibu dan anak hanyut selepas bot dinaiki terbalik

Fauzi Suhaimi
Januari 4, 2021 15:40 MYT
Azli berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang digerakkan membabitkan 22 anggota PDRM dan lapan anggota JBPM. - Gambar fail
KUALA LIPIS: Dua beranak dipercayai hanyut manakala dua lagi terselamat selepas bot yang dinaiki mereka terbalik sebelum dibawa arus deras di Kampung Bertang, Sungai Koyan, di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi Isnin, mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang berdekatan bagi mendapatkan bekalan makanan sebelum bot dinaiki mereka tersangkut.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, usaha untuk melepaskan bot berkenaan bagaimanapun gagal selepas diterbalikkan oleh arus deras.
“Susulan kejadian itu, bapa dan seorang anaknya sempat berpaut pada sebatang kayu manakala ibu dan seorang lagi anak dipercayai hanyut dibawa arus deras,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Isnin.
Azli menambah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang digerakkan membabitkan 22 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Usaha untuk mengesan mangsa telah diaktifkan yang mana dua bot digerakkan daripada PDRM dan sebuah bot daripada JBPM ke lokasi kejadian.
“Setakat ini, tumpuan SAR adalah di pesisir sungai memandangkan arus sungai masih deras dan terdapat dua lubuk berpusar yang agak berbahaya,” ujarnya.
#banjir #bot terbalik #Sungai Koyan #PPS #kampung bertang #operasi mencari dan menelamat #PDRM #JBPM
;