Banjir Pahang: Bas terkandas, penumpang terpaksa ikat perut tiada bekalan makanan
Hilmi Malik
Januari 3, 2021 00:04 MYT
Januari 3, 2021 00:04 MYT
RAUB: Sebahagian besar penumpang sebuah bas ekspres dari Terminal Bersepadu Selatan menghala ke pantai timur terpaksa berdepan kesukaran apabila bas mereka terkandas di Raub, Pahang susulan situasi banjir di kawasan itu.
Menurut perkongsian salah seorang mangsa, Azliwati Jamaludin, mereka terperangkap di kawasan tersebut sejak jam 5 petang Ahad dan amat memerlukan bantuan makanan serta keperluan untuk ke tandas.
“Kita memang tak boleh bergerak disebabkan kawasan depan dan belakang dibanjiri air, jadi semua kenderaan berat memang terkandas.
“Kita risau sebab dalam bas ada warga emas, kanak-kanak dan kita tiada kawasan perhentian untuk dapatkan bekalan makanan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad malam.
Menurut Azliwati, bas yang dinaiki pada jam 2.30 petang Ahad itu ingin menuju ke Kota Bharu sebelum kesemua mereka terkandas di kawasan terbabit.
“Masalah di sini kami terkandas di kawasan hutan dan tiada perkampungan untuk kami mohon bantuan dan kita ada cuba hubungi pihak berkenaan untuk dapatkan bantuan,” katanya lagi.
Jumlah mangsa banjir Pahang yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan, dilaporkan semakin meningkat setakat tengah hari Ahad.
Jumlah mangsa banjir terus meningkat sejak tengah hari tadi kepada 447 penduduk daripada 119 keluarga, berbanding 65 penduduk daripada 19 keluarga pagi Ahad.
[TERKINI] Mangsa banjir terkandas, mohon bantuan segera