Banjir Pahang: 2,797 mangsa masih di 20 PPS di Kuantan, Pekan

Amirah Nordin
Februari 8, 2023 02:10 MYT
Penduduk Kampung Gudang Rasau meredah banjir sambil mendukung bayinya yang berusia dua bulan ketika meninjau keadaan rumah. - Foto BERNAMA
KUANTAN: Seramai 2,797 orang daripada 847 buah keluarga masih berada di 20 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) daerah Kuantan dan Pekan sehingga jam 8 pagi hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A Rahman berkata, Kuantan masih mencatat jumlah tertinggi, iaitu seramai 2,678 orang mangsa daripada 812 buah keluarga masih berada di 16 buah PPS.
Katanya, bilangan ini tidak berubah sepertimana yang dilaporkan pada pukul 12 tengah malam tadi.
"Di Pekan seramai 119 orang mangsa dariada 35 buah keluarga dilaporkan masih berada di empat buah PPS.
"Kebajikan mangsa berkenaan kini dipantau oleh anggota pihak berkuasa beruniform, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) sejak dipindahkan ke PPS kelmarin," katanya.
Katanya, Sungai Belat di Sri Damai (Kuantan) merekodkan paras bahaya pada paras 5.11 meter, manakala Sungai Keratong di Jambatan Bahau - Keratong (Rompin) mencatat paras 24.01 meter juga paras bahaya.
"Sebanyak enam batang sungai masih merekodkan paras amaran dalam keadaan tren menaik, manakala lima lagi menunjukkan waspada juga tren menaik dan bertahan.
"Kebanyakan 11 buah daerah berlaku hujan lebat dan ribut petir mulai petang ini hingga ke malam esok," katanya.
Che Adam berkat, APM di setiap daerah dengan kerjasama anggota bomba dan penyelamat akan terus memantau keadaan paras air di setiap batang sungai serta bersiap siaga untuk penugasan bantuan sekiranya banjir berlaku.
#banjir #mangsa #PPS #Sungai