Banjir: Negeri Sembilan salur RM1,000 kepada KIR

Bernama
Disember 4, 2024 21:30 MYT
Aminuddin berkata setiap kerosakan akibat bencana itu akan diperbaiki segera bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku. - Gambar fail/Bernama
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyalurkan sumbangan RM1,000 kepada setiap lebih 700 ketua isi rumah (KIR) dan RM500 kepada 40 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terjejas banjir minggu lepas.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata lebih 700 KIR membabitkan lebih 2,000 mangsa itu akan menerima keseluruhan RM2,000 termasuk RM1,000 yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan melalui bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir di seluruh negara.
"Sumbangan (kepada KIR dan calon SPM) ini membabitkan peruntukan hampir RM1 juta dan diagihkan kepada setiap KIR yang berpindah ke pusat pemindahan sementara iaitu mengikut syarat ditentukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.
Aminuddin berkata setiap kerosakan akibat bencana itu akan diperbaiki segera bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku.
Beliau berkata tembok penahan banjir di Sungai Kelamah, Gemas yang pecah akan dibaiki segera, termasuk pembaikan beberapa jambatan yang terputus akibat banjir itu.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat berkata gaji ADUN dan ahli Exco negeri ini tidak pernah diselaras sejak 10 tahun lepas iaitu masih paras sama dan tiada kenaikan tahunan, menjadikan pembayaran gaji di negeri ini terendah berbanding negeri lain.
"Alhamdulillah pada tahun ini belanjawan kita berada dalam keadaan baik, iaitu belanjawan berimbang. Tahun lepas kita ada lebihan, malah peruntukan untuk belanjawan bertambah menjadi RM70 juta berbanding tahun lepas.
"Tiada isu pun, malah kenaikan ini melihat kepada pelarasan gaji di negeri lain, kali ini dirasakan paling sesuai iaitu selepas 10 tahun tiada pelarasan dilakukan," katanya.
Negeri Sembilan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) meminda Enakmen Anggota Pentadbiran dan ADUN (Saraan) 1980.
-- BERNAMA
#NADMA #Sijil Pelajaran Malaysia #mangsa banjir #mati lemas
;