Banjir: Mesyuarat pengurusan Isnin ini, tidak mahu kejadian berulang - PM Ismail Sabri
Firdaus Azil
September 10, 2022 12:17 MYT
September 10, 2022 12:17 MYT
BANGI: Kerajaan akan mengadakan mesyuarat penyelarasan bagi tujuan pengurusan bencana banjir pada Isnin depan (12 Sept) , kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Mesyuarat tersebut dijangka melibatkan kesemua agensi berkaitan, termasuk wakil kerajaan negeri, bagi memastikan pengurusan bencana kali ini lebih teratur.
Menurutnya, beliau mengharapkan agar mesyuarat tersebut dapat memastikan perancangan yang lebih berkesan dalam semua aspek, termasuk persiapan perpindahan, stok makanan dan pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS).
“Kita tak nak jadi seperti dulu. Sesetengah negeri sudah bersedia, sesetengah negeri yang tak biasa hadapi banjir, tak bersedia. Jadi, akhirnya, berlaku kejadian yang telah berlaku dahulu, terutamanya di Selangor, dan sebagainya.
“Kali ini semua perlu bersediac, bukan setakat di peringkat persekutuan. Banjir ini, sampai di peringkat daerah mesti bersedia, sejak awal lagi. PPS dah ada. Dari segi stok makanan pun dah ready (sedia). Dari segi peralatan untuk perpindahan pun dah ready,” katanya lagi.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata demikian kepada media selepas berucap pada majlis Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia di Feisol Hassan-Halle German-Malaysian Institute (GMI), di sini, hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini meramalkan, banjir besar melanda pada penghujung November depan, ekoran fasa peralihan monsun bermula akhir September hingga awal November
Selain itu, bencana tersebut berkemungkinan besar akan diburukkan lagi dengan fenomena berterusan La Nina, yang mengakibatkan peningkatan taburan hujan di sesetengah kawasan di negara ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, tidak kira sama ada bencana banjir yang bakal melanda berskala besar atau kecil, namun persediaan sewajarnya akan dilakukan berdasarkan kemungkinan paling buruk.
“Kalau boleh semua dah ready sebelum berlaku apa-apa. Berlaku tak berlaku, tak apa, tak penting. Yang penting, persediaan itu mesti ada.
"Kita tak tahu berlaku (banjir) besar atau kecil, tetapi kita mesti menganggap akan berlaku banjir besar,” tegas Ismail Sabri lagi.