Banjir Melaka: Bilangan mangsa di tiga daerah menurun - JBPM

Fareez Azman
Oktober 22, 2021 19:18 MYT
Pada Khamis, lebih 1,000 mangsa dipindahkan ke 12 PPS namun kini jumlahnya berkurangan kepada 849 membabitkan 215 keluarga. - Gambar fail
KRUBONG: Bilangan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin semakin menurun susulan keadaan cuaca semakin baik.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Abu Bakar Katain, berkata kawasan yang terjejas sudah semakin pulih sehingga petang tadi.
Katanya, pada Khamis, lebih 1,000 mangsa dipindahkan ke 12 PPS namun kini jumlahnya berkurangan kepada 849 membabitkan 215 keluarga.
"Sehingga jam 12 tengah hari tadi, kira-kira 1,000 orang telah dipindahkan di seluruh negeri Melaka melibatkan daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.
"Sekarang ini hujan masih berterusan, tapi dalam kadar tidak lebat seperti dua hari lepas... hujan masih dijangka berterusan," jelasnya.
Banjir Melaka | 1,105 mangsa masih ditempatkan di 12 PPS
Abu Bakar berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang situasi sekiranya cuaca di negeri itu semakin buruk.
Kejadian banjir melanda Melaka sejak dua hari lalu, menyaksikan 52 kawasan di tiga daerah terjejas teruk.
#banjir melaka #PPS #bomba #Abu Bakar Katain
;