Banjir: MB Kelantan nasihat penduduk ikut arahan pihak berkuasa
Bernama
Disember 21, 2020 17:10 MYT
Disember 21, 2020 17:10 MYT
KOTA BHARU: Penduduk Kelantan terutama yang tinggal di kawasan berisiko banjir, dinasihatkan agar memberi kerjasama serta patuh kepada arahan pihak berkuasa, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Menteri Besarnya Datuk Ahmad Yakob berkata, penduduk tidak seharusnya mengambil sikap yakin bahawa keadaan banjir di kawasan mereka masih selamat, memandangkan bencana itu sukar untuk diramal terutamanya keadaan arus air.
"Sekiranya, diminta berpindah, pindah lah, kalau diarahkan tutup kedai, tutuplah. Jangan ambil sikap rasa selamat. Kita tidak boleh nak jangka arus air deras atau tidak," katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Darul Naim di sini, hari ini.
Mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam mengekang penularan COVID-19 ketika menghadapi banjir, Ahmad berkata setiap agensi terlibat sentiasa memberi penekanan kepada mangsa, supaya mengikut garis panduan SOP yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Ahmad turut berkata setakat ini, peruntukan sejumlah RM50,000 telah disediakan kerajaan negeri, bagi membantu setiap mangsa banjir dan bantuan itu akan diedarkan melalui pejabat Dewan Undangan Negeri yang terlibat.
Berdasarkan aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 3 petang ini, merekodkan 1,178 mangsa banjir ditempatkan di 426 pusat pemindahan sementara (PPS), yang melibatkan daerah Pasir Mas, Tanah Merah dan Kuala Krai.
-- BERNAMA