Banjir: Maut ketika bantu jiran selamatkan diri
Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 26, 2021 18:52 MYT
Disember 26, 2021 18:52 MYT
HULU LANGAT: Dalam pada ramai sukarelawan seluruh negara berkampung di Hulu Langat membantu mangsa banjir ketika ini, tidak ramai sedar ada insan yang terkorban ketika memberi bantuan awal, Sabtu lalu.
Hashim Shamsuddin, 44, yang tinggal di Lorong Alang Lajim, Dusun Tua, di sini, terkorban ketika membantu keluarga serta jirannya menyelamatkan diri ketika banjir menjadi semakin serius.
Menurut anak saudaranya, Muhammad Syawal Fiqri Johari, 21, yang tinggal bersama Allahyarham, kejadian yang mengorbankan bapa saudaranya malam itu tidak akan dilupakan.
"Malam tu air deras luar biasa sehingga jiran terangga terpaksa menyelamatkan diri dan lari ke rumah kami kerana rumah kami ini agak tinggi.
"Namun air terlalu besar dan naik dengan cepat ke dalam rumah memaksa semua yang ada ketika itu termasuk kami bergerak ke rumah bersebelahan yang lokasinya lebih tinggi.
"Bagaimanapun ketika proses itu Allahyarham yang sedang membantu memimpin mereka di hadapan, hanyut dibawa arus. Jenazah Allahyarham dijumpai di hadapan rumah jiran kami tidak lama kemudian, namun dia sudah meninggal dunia," kata Syawal.
Katanya, kehilangan Hashim sangat dirasai kerana Allahyarham suka menolong orang tanpa mengira keadaan.
Malah Allahyarham juga berhenti kerja kerana mahu menjaga ibunya yang uzur sebelum ini.
"Allahyarham yang menjaga ibunya selama ini yang uzur sehinggalah ibunya itu meninggal dunia Mei lalu. Tak sangka hari ini kami pula kehilanganya," jelas Syawal.
Kata Syawal, laporan bedah siasat kemudian mendapati punca kematian Allahyarham adalah kerana serangan jantung.