Banjir: Masih ada rumah digenangi air di Bukit Changgang
Ridauddin Daud
Disember 26, 2021 18:19 MYT
Disember 26, 2021 18:19 MYT
DENGKIL: Banjir di Kampung Bukit Changgang, di sini, sudah surut namun masih terdapat beberapa rumah yang belum surut sepenuhnya, ada lagi air bertakung di hadapan rumah mereka.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, sekurang-kurangnya 10 buah rumah masih digenangi air namun hanya di luar rumah, tidak sampai ke dalam rumah.
Begitupun, hampir keseluruhan kawasan sudah surut sepenuhnya dan penduduk dilihat sedang sibuk membersihkan rumah masing-masing.
Sukarelawan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan persendirian juga dilihat sudah mula memasuki kawasan kampung itu dan membantu proses pencucian rumah.
Terdapat beberapa rumah yang airnya baru sahaja surut pada Sabtu dan menyebabkan mereka bergegas pulang untuk membersihkannya.
Menurut mereka, banjir yang sudah berlarutan selama beberapa hari membuatkan mereka tidak senang duduk dan segera mahu bersihkan rumah sebaik air surut.
Selepas dikemas, barang penduduk yang sudah tidak lagi boleh dipakai dilonggokkan di hadapan rumah dan menyebabkan ada kawasan di kiri dan kanannya dipenuhi barangan penduduk.
Masalah ketiadaan roro atau tong sampah besar di Kampung Sri Tanjung, Dengkil dilihat turut berlaku di kampung tersebut.
Namun, difahamkan pihak berwajib termasuk Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan beberapa individu sudah membawa masuk roro ke kawasan tersebut.
[LAPOR LANGSUNG] Banjir: 'Kami cuba untuk bangkit' - Penduduk
Penduduk yang ditemui bagaimanapun berharap agar proses mengalihkan sampah dapat dilakukan segera bagi memudahkan mereka untuk membersihkan rumah.
Buat masa ini, dikatakan roro tersebut akan diletakkan di kawasan hadapan terlebih dahulu dan kemudian barulah memasuki kawasan-kawasan yang lebih dalam.