Banjir: Mangsa trauma kemas rumah, bukan lagi bencana

Shuhada Abdul Kadir
Januari 3, 2022 18:03 MYT
Penduduk di Taman Merdeka Jaya meluahkan rasa sedih kerana sudah terlalu kerap kediaman mereka dilanda banjir sejak kebelakangan ini. - Gambar Astro AWANI
MELAKA TENGAH: Penduduk di sekitar Batu Berendam di sini, tidak lagi terkejut dengan bencana banjir, sebaliknya mereka ‘trauma’ untuk mengemas rumah kerana terlalu kerap berdepan situasi itu sejak kebelakangan ini.
Rita Adila Abdul Rasyid, 46, yang tinggal di Taman Merdeka Jaya berkata, dia sudah tidak sanggup untuk menggantikan barangan rumah yang rosak akibat bencana itu.
“Sekejap banjir, lepas itu banjir lagi jadi kami rasa trauma nak kemas rumah lagi sebab selang beberapa minggu sahaja nanti mesti kena pindah lagi.
“Sebelum ini pun memang selalu naik air tetapi tidak lah sekerap ini, siapa tidak sedih apabila lihat barang-barang rumah yang kita beli hasil titik peluh semua hancur kerana banjir,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Merdeka.
[LAPOR LANGSUNG] Paras sungai tahap bahaya, penduduk di lima negeri diminta waspada
Sementara itu, Muhammad Abdul Ghani, 58, turut berkongsi cerita kerap terpaksa berpindah ke PPS sejak tahun lalu berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Muhammad yang sudah 22 tahun menetap di taman sama itu berkata, jika sebelum ini air akan melimpah masuk ke kawasan kediaman hanya dalam tempoh dua kali setahun tetapi dalam tempoh tiga bulan sejak Oktober tahun lalu sudah tiga kali dia bersama keluarganya bermalam di PPS.
“Sudah 22 tahun saya duduk sini sejak tempoh itu cuma enam atau tujuh kali sahaja berpindah ke PPS, tetapi sejak tahun lepas banyak kali juga lah kami terpaksa berpindah.
“Tetapi kami bersyukur juga lah banyak perubahan di PPS yang mana kalau dahulu kami kena gotong-royong masak sendiri, tetapi kali ini semua petugas dah siapkan makanan secara bungkus,” ujarnya.
Seorang lagi mangsa banjir di Taman Tamby Chik Karim, Mohd Mahyiddin Kashim,40, berkata pengalaman banjir kali ini agak luar biasa kerana air naik terlalu mendadak.
Memandangkan dia sudah berkali-kali berpindah ke PPS, justeru Mohd Mahyiddin sudah lebih bersedia menyelamatkan barang-barang peribadi.
“Saya sudah lebih lima kali berdepan pengalaman banjir… walaupun kali ini banjir lebih teruk daripada biasa, kami sempat juga selamatkan barangan semua sebab tahun ini sudah terlalu kerap air naik.
“Kami mangsa banjir harap sangat pihak berkaitan dapat carikan penyelesaian kerana kami tertanya-tanya kenapa terlalu kerap air melimpah,”ujarnya.
#banjir #mangsa trauma #trauma kemas rumah #Batu Berendam
;