Banjir: Mangsa di PPS Kelantan dipantau pasukan kesihatan - Dr Zaini

Bernama
Disember 11, 2022 17:24 MYT
Dr Zaini berkata penempatan petugas kesihatan di PPS semasa musim tengkujuh adalah berdasarkan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan termasuk ke lokasi tersebut. - Gambar fail/Sinar Harian
KOTA BHARU: Mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan akan dipantau secara lawatan oleh petugas pasukan kesihatan dari semasa ke semasa, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin.
Beliau berkata penempatan petugas kesihatan di PPS semasa musim tengkujuh adalah berdasarkan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan termasuk ke lokasi tersebut.
"Bagi PPS yang kurang daripada 1,000 orang, kita tidak menyediakan pasukan statik sebaliknya ada pasukan perubatan secara lawatan.
"Setiap pasukan mempunyai antara 10 hingga 15 petugas yang mempunyai tanggungjawab menjaga kesihatan mangsa banjir di PPS," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurutnya di PPS pasukan perubatan JKNK akan merawat, memantau dan melakukan langkah pencegahan untuk mengelak sebarang penyakit berjangkit termasuk penyakit kulit dan selesema.
Dr Zaini berkata ujian saringan COVID-19 turut dilakukan ke atas mangsa banjir yang berada di PPS bagi memastikan tiada sebarang jangkitan berlaku.
Beliau berkata semua fasiliti kesihatan seperti hospital, logistik, bekalan ubat dan penugasan sumber manusia kini dalam keadaan bersedia menghadapi banjir di Kelantan.
--BERNAMA
#mangsa banjir #Pusat Pemindahan Sementara #banjir kelantan #Dr Zaini Hussin
;