Banjir makin pulih, separuh PPS di Johor ditutup
Ridauddin Daud
Januari 13, 2024 15:30 MYT
Januari 13, 2024 15:30 MYT
JOHOR BAHRU: Situasi banjir di Johor terus menunjukkan perkembangan positif selepas jumlah mangsa berkurang kepada 1,938 orang setakat jam 3 petang Sabtu.
Jumlah itu turun mendadak berbanding 4,936 mangsa direkodkan pada jam 1 tengah hari.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani berkata, jumlah pusat penempatan sementera (PPS) beroperasi juga berkurangan separuh, dengan hanya 17 masih dibuka berbanding 34 PPS sebelum ini.
Katanya Kota Tinggi masih mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai, namun menunjukkan trend menurun apabila bilagannya tidak lagi mencecah empat angka.
"Hanya tujuh PPS dibuka di daerah Kota Tinggi yang kini menempatkan seramai 864 orang membabitkan 256 keluarga.
"Bagi daerah Mersing, sebanyak empat PPS dibuka, menempatkan 617 penduduk. Masih terdapat dua PPS dibuka di Kluang (229 mangsa) dan Segamat (89 mangsa),” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, hanya satu PPS dibuka masing-masing di Johor Bahru dan Batu Pahat dengan jumlah mangsa seramai 139 orang di kedua-dua daerah.