Banjir: Luruan monsun punca taburan hujan tinggi, jarang berlaku - Zaini
Madiha Abdullah
Disember 19, 2021 06:51 MYT
Disember 19, 2021 06:51 MYT
KUALA LUMPUR: Banjir teruk yang melanda beberapa negeri ketika ini disifatkan berpunca daripada luruan monsun atau 'monsoonal surge' yang membawa taburan hujan yang sangat tinggi.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Zaini Ujang, hujan lebat itu sukar diramal kerana ia turut dipengaruhi oleh Taufan Rai yang sebelum ini membadai Filipina.
"Hujan berterusan sejak 12 Disember sehingga Sabtu disebabkan luruan monsun atau moonsonal surge, di mana sistem cuaca tekanan rendah di Laut China Selatan di tahap tropical depression. Hal ini agak teknikal untuk disebut tapi perlu dijelaskan supaya orang ramai faham.
"Apabila ia bergerak ke pantai barat dan menyebabkan peningkatan kelembapan hampir di sleuruh semenanjung. Amaran sudah dikeluarkan pada 11 Dis melibatkan pantai timur tapi MET Malaysia kemudian keluarkan arahan baharu pada 17 Dis untuk Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.
"Kenapa tak dimaklumkan lebih awal, kerana pergerakan tropical dperession sukar diramal sebab ia dipengaruhi Taufan Rai dan luruan monsun. Beberapa model global yang digunakan tidak beri maklumat konsisten, malah ada model ramal ia menghala ke utara, ada juga yang ramal ia melemah ketika di Banjaran Titiwangsa.
"Hanya pada 17 Dis barulah ia konsisten dan beri ramalan tepat penting, untuk faham kerana ramalan cuaca ini menggunakan model matematik dan juga satelit," katanya ketika muncul dalam Agenda AWANI, pada Ahad.
Jelasnya, taburan hujan yang merata dan tidak bertumpu di satu negeri sahaja menjadikan situasi lebih buruk, apatah lagi ia sangat jarang berlaku.
Penambahbaikan perlu dilihat bukan sahaja membabitkan isu hujan dan tebatan banjir sahaja, tetapi juga dari segi sudut 'planetary health' atau kesihatan bumi yang akan memudahkan pembinaan dan rekabentuk bandar yang lebih berdaya tahan.
Melangkah ke depan, tegas Zaini, perubahan iklim menjadi sesuatu yang sangat perlu diberi perhatian, dengan cara memahami faktor utamanya.
"Kita tahu hujan lebat pada 17 Dis itu hanya 24 jam sebelum itu. Kalau biasa kita tahu, hujung tahun dari November hingga Mac, Monsun Timur Laut akan berlaku dan bawa hujan lebat yang akan menyebabkan banjir. Pasukan keselamatan dan penyelamat pun bersedia. Kalau hujan lebat dalam beberapa jam, mereka akan terus bergerak.
"Tetapi keadaan sekarang, kita tidak bersedia, nak salahkan pegawai dan pihak penyelamat juga tidak boleh kerana mungkin mereka juga melaluinya kali pertama," tambahnya.
Zaini menegaskan kepentingan untuk semua pihak memahami punca berlakunya banjir iaitu rizab sungai yang diganggu dengan struktur binaan lain, selain menambah baik sistem pengurusan sisa pepejal.
"Ada kawasan yang kuala sungai sudah surut air, tetapi masih banjir. Di situ kita tahu, masalahnya ialah sampah sarap dan pembuangan sisa pertanian.
"Ini semua memerlukan usaha dan kefahaman semua pihak dan jabatan, masing-masing kena jalankan tugas," katanya lagi.