Banjir: Lumpur tebal, penduduk harap jentolak dihantar ke Dengkil
Ridauddin Daud
Disember 25, 2021 18:46 MYT
Disember 25, 2021 18:46 MYT
DENGKIL: Banjir di Kampung Sri Tanjung di sini, serta kawasan sekitar sudah surut dan kini penduduk sibuk membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur dan sampah.
Tugas mereka bertambah sukar apabila banyak halaman rumah dipenuhi lumpur tebal, rata-ratanya setinggi lebih 30 sentimeter, sekali gus melambatkan proses pembersihan.
Tinjauan Astro AWANI mendapati bekalan air di kawasan itu sudah ada, bantuan sukarelawan juga sudah tiba namun mereka kini berdepan masalah untuk mengeluarkan lumpur dari halaman rumah.
Seorang sukarelawan yang tinggal berhampiran kampung itu, Abd Aziz Ismail, 34, berkata dia sudah cuba untuk mendapatkan bantuan jentolak di kawasan itu namun semuanya sudah habis disewa.
"Semua dah habis disewa, mungkin sebab banyak kawasan dilanda banjir. Kalau tengok di kawasan kampung ini, lumpur memang sangat tebal. Kalau nak cuci secara manual, memang sukar.
"Kami harap sangat bantuan dari orang di luar kawasan ini untuk bantu kita hantar atau beri bantuan jentolak. Untuk kawasan dalam rumah kita boleh cuci secara manual.
"Tapi kalau di luar rumah, memang perlukan jentolak," katanya kepada Astro AWANI.
Keluhan sama disuarakan seorang lagi sukarelawan, Wan Faiz Wan Jaapar, yang mengharapkan pihak berkaitan memberikan tumpuan untuk menyediakan jentolak di kawasan itu.
"Kita dah tiga, empat hari di sini. Kalau kita guna tenaga manusia, memang lumpur ini tidak akan habis.
"Kami perlukan beberapa jentolak untuk buang lumpur yang tebalnya lebih satu kaki. Kami perlukannya supaya mudahkan kerja pembersihan sebab dijangka akan hujan.
"Kalau kita cuci rumah semua, kalau lumpur ini ada lagi, kita tak boleh buat kerja di dalam rumah," ujarnya.
Selain jentolak, kebanyakan penduduk merayu pihak berwajib menyediakan tong sampah besar untuk mereka membuang barang-barang rumah yang sudah rosak
Menurut penduduk, semua barang itu kini hanya dilonggokkan di hadapan rumah dan mereka khuatir sekiranya dibiarkan, binatang liar pula akan bersarang di situ.