Banjir lumpur landa Bukit Tinggi, laluan ke Janda Baik terjejas

Norfarhiza Mohd Atar
Februari 12, 2023 21:25 MYT
Hujan lebat mulai turun pada jam 6 petang sebelum penduduk setempat dikejutkan dengan kejadian banjir lumpur setengah jam kemudian. - Gambar/ Media sosial
BENTONG: Hujan lebat selama kira-kira setengah jam membawa kepada kejadian banjir lumpur di Bukit Tinggi, di sini petang tadi.
Difahamkan kejadian sekitar jam 6.30 petang itu menyebabkan laluan dari simpang Janda Baik menghala ke Genting Sempah dan simpang Janda Baik turun ke Bukit Tinggi ditutup buat sementara akibat jalan rosak.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Baru (JKKKB) Bukit Tinggi, Young Meow Foong berkata, hujan lebat mulai turun pada jam 6 petang sebelum penduduk setempat dikejutkan dengan kejadian banjir lumpur setengah jam kemudian.
"Air dari Janda Baik telah turun ke Bukit Tinggi menyebabkan kira-kira 15 buah premis perniagaan di sini terjejas ekoran banjir lumpur dan melimpah ke kaki lima kedai.
"Selain itu, lebih lima buah kediaman penduduk turut terjejas termasuk sebuah tembok rumah runtuh akibat dilanda banjir lumpur berkenaan.
"Kira-kira lima buah motosikal dan sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan berhampiran premis juga dihanyutkan air deras serta berlumpur," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan pihaknya masih mengumpul maklumat lengkap berkaitan jumlah mangsa yang terlibat.
Ujarnya, penduduk bimbang jika hujan lebat berterusan yang akan mengakibatkan kejadian lebih buruk berlaku termasuk tanah runtuh.
"Sehingga jam 9 malam ini (Ahad) hujan masih turun dan penduduk diletakkan dalam keadaan bersiap sedia sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.
#banjir lumpur #Bukit Tinggi #Bentong #Janda Baik
;