Banjir lumpur: Laluan Janda Baik-Genting Sempah ditutup akibat runtuh
Norfarhiza Mohd Atar
Februari 12, 2023 22:26 MYT
Februari 12, 2023 22:26 MYT
BENTONG: Jalan Kuala Lumpur-Bentong yang menghubungkan Genting Sempah ke Janda Baik ditutup sementara kepada semua kenderaan selepas mengalami runtuhan akibat kepala air, hari ini.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang dalam satu kenyataan malam ini berkata, runtuhan melibatkan laluan sepanjang 50 meter itu terletak 1.5 kilometer dari simpang Janda Baik.
"Jalan dari simpang Janda Baik menghala ke Genting Sempah dan dari simpang Janda Baik turun ke Bukit Tinggi ditutup sepenuhnya buat sementara akibat jalan rosak.
"Kerja pemasangan TCP (Pelan Kawalan Trafik) bagi penutupan laluan sedang dilakukan oleh pihak Roadcare bagi memberi amaran kepada pengguna," katanya.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook berkongsi maklumat penutupan sementara jalan dari simpang Janda Baik menghala ke Genting Sempah dan dari simpang Janda Baik turun ke Bukit Tinggi akibat jalan rosak.
"Pengguna boleh menggunakan jalan alternatif simpang Janda Baik ke Sekolah Menengah Bukit Tinggi," katanya.
Dalam pada itu, menerusi laman sosial Facebook, Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman bersama Ahli Dewan Undangan Ketari, Su Keong Siong telah turun ke lokasi dan meninjau kesan kejadian banjir lumpur berkenaan.
"Berdasarkan maklumat disampaikan Ketua Balai Polis Bukit Tinggi, arus air mulai perlahan bagaimanapun penduduk di kawasan itu diminta sentiasa berjaga-jaga," katanya melalui hantaran di Facebooknya.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan, hujan lebat selama kira-kira setengah jam bermula 6 petang membawa kepada kejadian banjir lumpur di Bukit Tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Baru (JKKKB) Bukit Tinggi, Young Meow Foong berkata, 15 buah premis perniagaan di kampung itu terjejas dan beberapa kenderaan rosak.