Banjir Lumpur Karak: Saya lihat air melimpah, kereta hampir dihanyutkan - Saksi
Astro Awani
November 11, 2015 00:40 MYT
November 11, 2015 00:40 MYT
Menurut seorang saksi kejadian banjir lumpur di Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak (KLK), mereka sememangnya tidak tahu apa yang hendak dilakukan setelah terperangkap lebih tiga jam di lebuh raya itu yang sesak teruk.
Farah Iziati yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Raub, Pahang, adalah antara mereka yang terperangkap apabila kejadian itu berlaku di KM52.4 susulan hujan lebat pada petang Rabu.
“Saya lihat air melimpahi lebuh raya dan beberapa kenderaan terperangkap di jalan raya. Saya lihat ada yang sedang berusaha membawa keluar sebuah lori dan beberapa kereta dari kawasan itu bagi mengelak dihanyutkan,” Farah memberitahu Astro AWANI apabila dihubungi pada Rabu malam.
Farah yang merupakan salah seorang penumpang sebuah bas ekspres berkata ramai yang keletihan setelah terperangkap berjam-jam lamanya.
“Ada yang kelaparan. Makanan yang ada di dalam bas tidak banyak. Seorang penumpang sudah berusia mengalami masalah bernafas. Kami semua bimbang tetapi tidak begitu pasti apa yang harus dilakukan,” katanya lagi.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, PPJB Morni Mamat memaklumkan empat kenderaan yang tertimbus akibat banjir lumpur itu telah berjaya dikeluarkan manakala lapan penumpang yang pada awalnya terperangkap dalam kenderaan terbabit turut berjaya diselamatkan.
#banjir lumpur
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahan
#KLK
#Kuala Lumpur-Karak
#Morni Mamat
#tanah runtuh