Banjir lumpur dijangka berlaku lagi di Lebuhraya KL-Karak - Polis

Norsiah Mohd Ramli
November 12, 2015 07:14 MYT
Polis menasihatkan pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak untuk tidak menggunakan lebuhraya tersebut buat masa ini. - Foto Astro AWANI
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Mansor Mohd Noor memaklumkan, banjir lumpur dijangka berlaku sekiranya hujan dalam tempoh terdekat.
Beliau menasihatkan pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak untuk tidak menggunakan lebuhraya tersebut buat masa ini.
"Saya berharap penduduk sekitar tidak menggunakan lebuhraya ini kerana dikhuatiri banjir lumpur akan berlaku sekali lagi sekiranya hujan," katanya pada sidang media banjir lumpur Kuala Lumpur-Karak di sini, hari ini.
Beliau turut menasihatkan pengguna yang merancang menggunakan laluan ke arah Kuala Lumpur atau Kuantan untuk menggunakan jalan alternatif lain seperti Simpang durian-Kuala Kelawang-Seremban atau Jalan Temerloh-Kl atau Bera-KL.
Satu kejadian banjir lumpur telah berlaku di KM 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi petang Rabu.
BACA: Banjir lumpur di Lebuhraya KL-Karak
Susulan, itu lebuhraya berkenaan kini ditutup bagi kerja-kerja pembersihan.
Beberapa jentolak pemegang konsesi, Anih Berhad telah memulakan kerja-kerja pembersihan sejak pukul 9.30 pagi tadi.
Kenderaan yang kini berada di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) boleh melakukan pusingan-U untuk berpatah semula ke lokasi asal.
Astro AWANI difahamkan, kerja-kerja pembersihan dijangka siap sepenuhnya selama dua hari.
Sehubungan itu, pengguna Lebuhraya Karak disaran untuk menggunakan laluan alternatif seperti yang disarankan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
#banjir lumpur #KLK #Lebuhraya Karak #LPT #polis #tanah runtuh