Banjir lumpur di Perkampungan Terskol, Rusia: 19 pendaki Malaysia terkandas

Bernama
September 2, 2017 20:17 MYT
Semalam, enam pendaki wanita dari Misi Srikandi Prihatin dalam usaha menawan Gunung Elbrus sejak 25 Ogos lalu dilaporkan selamat dan tidak terjejas dengan insiden banjir lumpur pada awal Jumaat. Astro AWANI/Dinni Azween
Kementerian Luar mengesahkan bahawa 19 rakyat Malaysia yang sedang dalam pendakian menuju ke puncak Gunung Elbrus, Rusia, terkandas ekoran banjir lumpur yang melanda Perkampungan Terskol, yang terletak berhampiran gunung itu, pada Jumaat.
Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra berkata pendaki Malaysia yang terjejas akibat bencana itu dilaporkan selamat.
“Semua laluan darat di kawasan terjejas tidak boleh dilalui setakat ini.
“Kedutaan Malaysia di Moscow bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk memindahkan pendaki terbabit,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia yang berada di sekitar kawasan terjejas supaya menghubungi kementerian berkenaan atau Kedutaan Malaysia di Moscow.
BACA: Enam wanita Malaysia misi tawan Gunung Elbrus selamat
Mereka yang terjejas boleh menghubungi Kementerian Luar Malaysia di talian 03-8887 4570 atau menerusi e-mail di dutyofficer@kln.gov.my atau Kedutaan Malaysia di Moscow di Mosfilmovskaya Ulitsa 50, 115127 Moscow or +7 495 419 9898 / +7 495 419 9899 / +7 905 7466 944 atau e-mail mwmoscow@kln.gov.my
Wisma Putra berharap anggota keluarga akan bertenang sementara prosedur pemindahan dijalankan.
-- BERNAMA./
#banjir #Gunung Elbrus #Kandas #Kementerian Luar #Moscow #pendaki #Perkampungan Terskol #rakyat Malaysia #Rusia #Wisma Putra
;