Banjir lumpur di Lebuhraya KL-Karak
Astro Awani
November 11, 2015 23:14 MYT
November 11, 2015 23:14 MYT
Satu kejadian banjir lumpur berlaku di KM52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi petang tadi.
Menurut laporan awal akaun Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (@LLMinfotrafik), kesemua laluan terhalang dan trafik di kedua-dua arah sesak.
Tambahnya, pengguna dinasihatkan menggunakan laluan alternatif dari Kuantan keluar ke Persimpangan Bentong manakala dari Kuala Lumpur keluar ke Persimpangan Genting Sempah.
Menurut pemerhatian wartawan Astro AWANI, yang menuju ke lokasi, sehingga pukul 9.30 malam, keadaan masih sesak bermula dari KM46.2 lebuh raya sementara ada kenderaan yang menggunakan laluan kecemasan sehingga menghalang kenderaan Bomba masuk ke lokasi kejadian.
Salah seorang pengguna lebuh raya yang dihubungi, Farah Iziati memaklumkan kesan lumpur dan pokok yang tumbang menyukarkan kenderaan untuk bergerak.
Dalam pada itu Bernama melaporkan pengendali lebuh raya terbabit, Anih Berhad dalam satu kenyataan berkata laluan di kedua-dua arah ditutup sebagai langkah keselamatan dengan keadaan cuaca dilaporkan masih hujan.
Pengguna dari arah Kuala Lumpur diminta supaya menggunakan jalan alternatif laluan dalam di Bukit Tinggi atau Kawasan Rehat Lentang, manakala pengguna dari arah Kuantan boleh menggunakan jalan dalam dari Bentong Timur.
Turut dilaporkan, Ketua Polis Bentong Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor mengesahkan kejadian itu tidak melibatkan kehilangan nyawa.
"Kerja pembersihan telah dimulakan pada jam 8 malam," katanya.
Sementara itu berdasarkan carian di aplikasi Waze, kesesakan lalu lintas dilaporkan di kedua-dua arah sekitar pukul 11 malam.
Menurut laporan awal The Star, terdapat beberapa kereta tertimbus di dalam kejadian itu.
“Saya baru sahaja bercakap dengan beberapa pegawai, terdapat beberapa buah kereta tertimbus di bawah banjir lumpur,” kata ketua bahagian trafik Kumpulan Media Radio Star, Priscilla Patrick.
Kesan runtuhan dijangka tidak akan dapat dibersihkan malam ni, tambahnya lagi.
Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa usaha menyelamat dari kejadian banjir lumpur itu dilakukan segera.
Beliau turut menasihati pengguna berhampiran untuk bertenang dan mematuhi arahan sementara pihak berkuasa bantu meleraikan trafik.
Beliau juga mendoakan semua mangsa dan pengguna lain berhampiran kawasan berada dalam keadaan selamat.
Najib memaklum perkara ini melalui laman Facebook dan Twitternya.