Banjir lumpur Bentong: Kerajaan Negeri lulus RM200,000 baiki paip, longkang - MB Pahang

Ridauddin Daud
Februari 13, 2023 19:20 MYT
Wan Rosdy ditemui selepas melawat lokasi banjir di Bukit Tinggi di Bentong pada Isnin. - Foto Astro AWANI
BENTONG: Kerajaan Negeri Pahang meluluskan serta-merta peruntukan berjumlah RM200,000 untuk membaiki paip dan longkang di Bukit Tinggi, Bentong.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu adalah bagi membolehkan penduduk dapat segera menggunakan laluan utama di kawasan tersebut.
Menurutnya, ia adalah tindakan segera yang perlu diambil sebelum perancangan jangka panjang direncana kerajaan negeri.
"Tapi ini adalah untuk jangka masa pendek. Untuk jangka masa panjang, saya telah minta mereka untuk buat satu permohonan rasmi dan mereka beritahu tadi.
"Mereka perlu peruntukan kira-kira RM4 juta ke RM5 juta iaitu untuk membina jambatan. Maknanya bila ada jambatan ini, kita dapat elakkan.
"Kalau tidak, kalau kita baiki, perkara sama akan berulang. Kalau ada hujan yang lebat, ia menyebabkan berlakunya banjir lumpur," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat lokasi banjir di Bukit Tinggi di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Wan Rosdi memaklumkan penerokaan hutan bukan punca utama berlakunya kejadian kepala air di Jalan Kuala Lumpur-Bentong yang menghubungkan Genting Sempah ke Janda Baik.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap saranan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman yang menyentuh isu penerokaan hutan di kawasan berhampiran.
"Penerokaan bukan sebab utama, ia kerana hujan lebat yang bermula pada jam 5.30 petang hingga 6.30 petang dan hujan renyai selama empat jam.
"Itu punca utama. Begitupun, saranan daripada Ahli Parlimen tersebut, kita akan tengoklah," ujarnya.
Young Syefura pada Isnin mendesak kerajaan negeri dan persekutuan menerusi kementerian atau agensi yang berkaitan untuk segera menyiasat kejadian banjir lumpur di Bukit Tinggi, di sini petang semalam.
Katanya, ini merupakan kejadian kedua dalam tempoh tidak sampai setahun, yang mana sebelum ini kejadian sama berlaku pada Mei 2022.
#banjir bentong #Wan Rosdy Wan Ismail #Bukit Tinggi #Janda Baik
;