Banjir luar biasa, bandar Maran dinaiki air

Aira Abdul
Januari 3, 2021 11:12 MYT
Pada pukul 3 pagi air Sungai Maran mula naik sebelum melimpah ke bandar pada kira-kira pukul 4 pagi. - Astro AWANI
MARAN: Hujan berterusan menyebabkan keadaan banjir di Maran semakin buruk sehingga menyebabkan hampir keseluruhan bandar itu dilanda bah.
Kejadian banjir yang dianggap ini menyaksikan air deras menyebabkan premis-premis perniagaan di bandar itu mula dinaiki air kira-kira pukul 4 pagi.
Seorang penduduk, Zafril Nasir, 40, berkata, banjir yang berlaku di bandar Maran kali agak luar biasa apabila air naik begitu cepat akibat limpahan air Sungai Maran.
"Banjir kali ini amat luar biasa yang mana pada pukul 3 pagi air Sungai Maran mula naik sebelum melimpah ke bandar pada kira-kira pukul 4 pagi.
"Selain banjir besar pada 2014, bandar Maran tidak pernah dinaiki air dan ini amat mengejutkan kami," katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, pada masa ini cuaca masih hujan dan air masih menunjukkan trend menaik.
Sementara itu, Ketua Angkatan Pertahanan Awam (APM) Maran, Nurul Ashikin Mohd Anuar berkata, sehingga kini jumlah mangsa banjir yang direkodkan di daerah ini ialah sebanyak 162 orang.
Katanya, kawasan yang terlibat banjir ialah Kampung Jara, Taman Sri Chedong, Kampung Paya Chedong dan Kampung Berkat.
"Seramai 44 mangsa daripada 13 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Jara manakala 118 mangsa daripada 37 keluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran," ujarnya.
#banjir #Maran #hujan #bandar maran #bencana alam
;