Banjir: Lima hari tenggelam, bandar Kota Tinggi kembali ‘hidup’

Ridauddin Daud
Januari 13, 2024 17:12 MYT
Lebih separuh premis di bandar Kota Tinggi sudah mula kembali beroperasi hari ini selepas terpaksa ditutup susulan banjir besar yang melanda kawasan itu. - Foto Astro AWANI
KOTA TINGGI: Selepas lima hari ditenggelami air akibat dilanda banjir, pusat bandar Kota Tinggi di Johor kembali ‘hidup’ pada Sabtu dengan operasi perniagaan mula kembali rancak di sana.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, lebih separuh premis di sana sudah mula kembali beroperasi selepas terpaksa ditutup susulan banjir besar yang melanda kawasan itu.
Begitupun, masih ada kedai yang tidak dibuka sepenuhnya kerana pemilik dan pekerja sibuk membersihkan premis mereka yang masih lagi kotor.
Difahamkan, bekalan elektrik juga sudah mula disalurkan pada awal pagi Khamis.
Sementara itu, beberapa laluan masuk ke pusat bandar juga sudah dibuka kepada awam sejak Khamis dan tiada lagi penutupan jalan di sekitar bandar tersebut.
Namun, masih ada beberapa kawasan di bandar yang masih digenangi air, termasuk longkang yang masih dipenuhi air namun ia tidak mengganggu operasi perniagaan di sana.
Paras air Sungai Johor di sebelah bandar itu pula semakin surut, tidak lagi tinggi seperti yang direkodkan pada Ahad lepas.
Astro AWANI pada Sabtu melaporkan situasi banjir di Johor terus menunjukkan perkembangan positif selepas jumlah mangsa berkurangan kepada 1,938 orang setakat jam 3 petang tadi.
Aktiviti perniagaan kembali beroperasi
Jumlah itu turun mendadak berbanding 4,936 mangsa direkodkan pada jam 1 tengah hari pada Sabtu.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani berkata, jumlah Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang masih dibuka juga turun separuh dengan hanya 17 masih dibuka berbanding 34 PPS pada dua jam lepas.
Begitupun, katanya, Kota Tinggi masih mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai, namun menunjukkan trend menurun apabila jumlahnya tidak lagi mencecah empat angka.
#banjir #Kota Tinggi #mangsa banjir #banjir surut
;