Banjir Lembah Bertam: Tragedi 2013 bantu pelan tindak balas lebih tersusun

Marlina Manaf
November 6, 2014 16:00 MYT
Pasukan pertama dari Balai Bomba Brinchang tiba di lokasi kejadian dalam tempoh 35 minit sahaja. - Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Tragedi banjir lumpur di Lembah Bertam Oktober tahun lalu, memberi pengajaran sangat berguna kepada pasukan penyelamat.
Timbalan Pengarah Bomba Negeri Pahang, Penolong Pesuruhjaya Bomba Morni Mamat menjelaskan pasukannya mengambil iktibar dari insiden tahun lalu dan mewujudkan Pelan Kontigensi.
"Kami belajar dari pengalaman yang dialami untuk menyediakan pelan pemindahan lebih tersusun seperti yang dilaksanakan untuk bencana yang berlaku semalam,
"Tahun lalu, bantuan lambat tiba kerana kami tidak menjangkakan bencana seperti ini akan berlaku, dan kebetulan pasukan kami terlibat dalam kes lain ketika itu," kata Morni yang ditemui Astro AWANI ketika meninjau operasi menyelamat banjir lumpur di Lembah Bertam.
Menurut Morni, persediaan rapi membolehkan respon lebih cepat kepada aduan yang diterima berhubung bencana semalam.
Panggilan kecemasan dibuat sekitar 7.04 petang dan diterima pihak penyelamat pada 7.05 petang.
Pasukan pertama dari Balai Bomba Brinchang tiba di lokasi kejadian dalam tempoh 35 minit sahaja.
Mengulas lanjut, Morni memberitahu pihak bomba dan pelbagai agensi lain melaksanakan langkah susulan untuk memastikan pelan tindak balas berkesan.
Antaranya simulasi Pelan Evakuasi yang dilaksanakan tahun lepas dan tahun ini dengan kerjasama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) untuk menyediakan penduduk berkenaan risiko yang mereka hadapi.
Sistem siar raya bagi amaran juga ditambah baik dan dinaik taraf untuk kemudahan penduduk.
Sementara itu di pihak berkuasa tempatan pula, pelan pembesaran sungai turut dilaksanakan untuk mengurangkan risiko bencana.
#banjir lumpur #bomba #Cameron Highlands #lembah bertam #penyelamat
;