Banjir: Lapan pekerja pasar raya terperangkap di rumah kedai berjaya diselamatkan
Bernama
Mac 3, 2023 16:28 MYT
Mac 3, 2023 16:28 MYT
KOTA TINGGI: Seramai lapan pekerja sebuah pasar raya yang terperangkap di sebuah rumah kedai susulan paras air banjir meningkat sehingga 1.5 meter di bandar Kota Tinggi, berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, hari ini.
Kesemua wanita yang menyewa di atas premis pasar raya itu diselamatkan sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, yang diketuai Ketua Zon 2 Johor Timbalan Penguasa Bomba II Tahrin Saat pada 11 pagi tadi.
Salah seorang mangsa Roziana Zaharuddin, 31, berkata mereka berada di rumah itu sejak tiga hari lepas, sebelum meminta bantuan bomba pagi tadi selepas sungai melimpah dan air semakin meningkat dengan kesemua jalan masuk ke bandar tidak boleh dilalui kenderaan ringan.
"Selalunya banjir tidak sehingga ke kawasan premis pasar raya kami, tetapi pagi ini lihat air sudah naik dan menuju ke premis sebab sungai melimpah.
"Jadi kami semua ambil keputusan membuat panggilan kecemasan untuk keluar segera dari kawasan ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Roziana yang merupakan penyelia pasar raya itu berkata mereka juga sempat memindahkan barang-barang di dalam pasar raya itu ke tempat tinggi, bagi mengelakkan daripada ditenggelami banjir.
Seorang lagi mangsa Fatin Anisah Che Anaf, 19, berkata meskipun tiga hari sudah berada dalam rumah, bekalan makanan dan minuman mereka mencukupi.
"Makanan semua ada seperti mi segera dan biskut, tetapi apabila air semakin naik kami mula takut dan semua ambil keputusan keluar dari kawasan itu," katanya.
Sementara itu, Tahrin menasihati orang ramai supaya mendengar arahan daripada pihak berkuasa untuk berpindah, bagi mengelakkan daripada kejadian tidak diingini berlaku.
Beliau berkata pihaknya juga sentiasa bersiap sedia selama 24 jam untuk melakukan rondaan dan operasi menyelamat.
"Paras air meningkat tetapi secara perlahan-lahan, namun dikhuatiri akan terus naik jika hujan berterusan dan air pasang. Orang ramai juga dinasihatkan elak main air banjir kerana dikhuatiri dibawa arus deras dan sebagainya," katanya.
Terdahulu, menerusi tinjauan Bernama mendapati hampir 90 peratus premis perniagaan di bandar itu ditutup dengan paras air Sungai Johor di Jambatan Kota Tinggi yang melimpah ke bandar dilihat semakin meningkat.
-- BERNAMA