Banjir: Landasan LRT ditakungi air, kerja baik pulih giat dijalankan

Umavathi Ramayah
Oktober 15, 2024 14:51 MYT
Kerja baik pulih kerosakan teknikal yang disebabkan takungan air di landasan stesen Wangsa Maju hingga Sri Rampai sedang giat dijalankan. - Foto Rapid Rail
KUALA LUMPUR: Kerja baik pulih kerosakan teknikal yang disebabkan takungan air di landasan stesen Wangsa Maju hingga Sri Rampai sedang giat dijalankan.
Pengendali perkhidmatan rel Rapid Kuala Lumpur, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan, sehubungan itu, pihaknya terpaksa menghentikan bekalan kuasa di kawasan terbabit.
"Kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu, dipercayai berpunca daripada aliran air hujan luar biasa dari kawasan sekitar dan memasuki landasan yang terletak di aras tanah serta merosakkan beberapa komponen di trek," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Rapid Rail memberitahu, pihaknya akan memaklumkan perkembangan terbaharu perkhidmatan itu pada pukul 3 petang ini dan berharap kerja-kerja perbaikan dapat diselesaikan sebelum waktu puncak petang.
Menurutnya, perkhidmatan tren alternatif bagi laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya diaktifkan di antara Stesen Gombak dan Stesen Wangsa Maju, manakala tren dari arah Putra Heights akan berpatah balik di Stesen Wangsa Maju.
Perkhidmatan bas perantara percuma disediakan sebanyak 12 buah dengan kekerapan setiap 15 minit bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan.
Dalam pada itu, Rapid Rail berkata, kakitangan operasi dan polis bantuan tambahan ditempatkan di stesen berkenaan bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang yang terjejas.
Rapid Rail menasihati pengguna supaya merancang perjalanan masing-masing serta merujuk media sosial Rapid KL untuk mendapatkan maklumat berkenaan status perkhidmatan terkini perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya.
Terdahulu, cuaca buruk yang melanda Kuala Lumpur sejak awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air akibat hujan lebat berterusan.
Menerusi beberapa video tular di media sosial, kawasan perumahan di Kampung Segambut Dalam, juga dinaiki air sehingga menenggelamkan beberapa kenderaan.
#hujan lebat #cuaca buruk #Rapid KL #banjir
;