Banjir landa kawasan tengah, utara Sarawak

Bernama
Februari 3, 2021 08:01 MYT
Hujan sejak beberapa hari lepas di daerah Song itu yang terletak kira-kira 110km dari bandar Sibu dan 51 km dari Kapit menyebabkan paras air Sungai Rajang meningkat dan melimpah. - APM Sarawak
KUCHING: Selepas keadaan banjir reda di bahagian selatan Sarawak, kawasan tengah dan utara negeri ini pula mulai dinaiki air hari ini apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan seramai 85 mangsa.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, sebuah PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Nanga Embuau di daerah Song, Kapit sejak 4 petang semalam yang menempatkan 77 mangsa dari Rumah Panjang Kulleh, Nanga Embuau.
Hujan sejak beberapa hari lepas di daerah Song itu yang terletak kira-kira 110km dari bandar Sibu dan 51 km dari Kapit menyebabkan paras air Sungai Rajang meningkat dan melimpah ke kawasan rendah.
Sementara itu, sebuah lagi PPS dibuka di Dewan Sukan Tatau, yang terletak kira-kira 60km dari bandar Bintulu pada 9.45 pagi tadi selepas lapan mangsa daripada dua keluarga dari Kampung Dagang di daerah Tatau terpaksa dipindahkan.
Berdasarkan ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia, daerah Song dan Tatau diramalkan mengalami keadaan hujan hingga minggu hadapan.
-- BERNAMA
#banjir #Sarawak #Pusat Pemindahan Sementara #PPS #bencana alam #JBPN #Jawatankuasa Pengurusan Bencana #mangsa banjir