Banjir: Laluan Tapak Warisan Dunia Gua Niah tenggelam, Taman Negara Gunung Gading dilanda kepala air
Rudi Affendi Khalik
Februari 6, 2025 08:40 MYT
Februari 6, 2025 08:40 MYT
KUCHING: Laluan ke Taman Negara Niah yang menempatkan Tapak Warisan Dunia Kompleks Gua Niah kini tidak dapat dilalui setelah tenggelam akibat banjir sejak beberapa hari lalu.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, air naik sekitar 50cm hingga dua meter di laluan pintu masuk gua, dari pejabat-pejabat taman negara, menenggelamkan satu-satunya jambatan yang ada.
Menurut Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abang Arabi Abang Aimran, pejabat taman itu sendiri kini turut ditenggelami air.
"Kami bernasib baik kerana tiada pelancong yang terperangkap datang menginap, kerana telah mengambil tindakan awal menutup kemasukan ke sini, ketika hujan luar biasa minggu lalu," katanya.
Jelasnya, selain Niah, antara kawasan yang terjejas ialah Taman Negara Bukit Lambir di Miri dan Taman Negara Loagan Bunut.
Pada pagi Rabu, kata Abang Arabi, pihaknya menerima laporan berlaku fenomena kepala air di Taman Negara Gunung Gading.
"Tiada mangsa terlibat dan tiada pengunjung berada di kawasan tersebut pada waktu tersebut.
"Ia berpunca daripada hujan yang tidak berhenti selama 10 jam, yang turut menyebabkan air Sungai Batang Kayan melimpah," katanya lagi.
Pihak SFC, katanya, sentiasa memantau perkembangan cuaca semasa dan menerima nasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak sebelum membenarkan sebarang aktiviti di kawasan itu.
Ketika ini, taman-taman negara terbabit berkemungkinan akan ditutup selama sebulan, bagi tujuan penilaian anggaran kerosakan, tambahnya.
#Taman Negara Niah
#Tapak Warisan Dunia Kompleks Gua Niah
#banjir
#Sarawak
#Taman Negara Gunung Gading
#kepala air
#Perbadanan Perhutanan Sarawak