Banjir: "Kurang sejam air sudah sampai paras pinggang, syukur kami sempat keluar" - Kolumnis AWANI

Nickyson Nyambar
Disember 19, 2021 20:36 MYT
Paras air banjir di Taman Lestari Mewah, Dengkil tidak menunjukkan sebarang tanda surut ketika ini dengan parasnya hampir mencecah bumbung rumah ketika ini -Foto Ihsan Encik Sheik Arif
JAM di dinding menunjukkan hampir pukul 8 malam.
Hujan di luar masih lebat, air makin melimpah, air banjir makin meningkat. Hati mula berdebar-debar memikirkan apa tindakan seterusnya.
"Kami semua sempat keluar sekitar jam 8 malam dan kira-kira sejam kemudian air sudah mula mencecah paras buku lali dan akhirnya paras pinggang.
Demikian luah Maziatul Syima Rusly yang menetap di Taman Lestari Mewah, Dengkil di Selangor.
"Kami terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing untuk menyelamatkan diri. Setakat ini, paras air sudah mencecah paras bahu orang dewasa."
Dua puluh empat jam kemudian, tanda-tanda air akan surut masih tidak kelihatan, malahan hujan renyai masih berterusan di kawasan itu.
"Saya difahamkan ahli bomba tidak dapat masuk. Ada beberapa lorong (tidak dapat dimasuki) disebabkan arus deras," kata Maziatul.
"Bantuan makanan kita sudah dapat malam tadi, diletakkan di tempat yang lebih tinggi daripada kawasan perumahan yang terjejas," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Ahad.
BACA LAPOR LANGSUNG BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI
Menurutnya, terdapat tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang disediakan buat penduduk iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil, Sekolah Kebangsaan (SK) Dengkil dan SRA Kampung Dato Ahmad Razali
"Penduduk risau untuk dipindahkan ke PPS gara-gara jangkitan COVID-19 dan ada juga yang risau sehubungan faktor keselesaan," katanya lagi.
Apa yang membimbangkan,menurut Maziatul, ialah penduduk yang terjejas sudah mula mengalami serangan panik.
Risaukan keselematan keluarganya, Maziatul turut mencuba untuk menyewa di hotel sekitar Putrajaya, Cyberjaya dan Kota Warisan namun tidak bernasib baik kerana penuh.
Antara lain, beliau bersama penduduk memohon agar kerajaan mempertimbangkan lanjutan cuti sehari seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin buat kakitangan awam.
Jelasnya, lanjutan itu dapat meringankan beban penduduk yang terkesan akibat banjir buruk tersebut.
Menurutnya lagi, ini merupakan kali ketiga banjir melanda kawasan perumahan itu dalam tempoh 18 bulan, bencana kedua dan ketiga berlaku pada Julai 2020.
#Banjir 2021 #Maziatul Syima Rusly #Taman Lestari Mewah #penduduk alami serangan panik
;